JOHOR : Rakyat tanpa penyata gaji, tanpa penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini boleh memiliki rumah sendiri.
Pemilikan ini diperolehi dibawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SKJP) yang bekerjasama dengan PR1MA untuk memudahkan pembiayaan anak muda.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kerjasama ini selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia serta Kempen Pemilikan Rumah atau HOPE oleh kementeriannya.
“Sebagai permulaan, ia ditawarkan kepada pembeli kediaman Residensi Larkin Indah sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
“Menerusi SKJP, peminjam akan mendapat pembiayaan lebih tinggi hingga 100 peratus atau dengan kata lain kadar kelulusan lebih baik bagi pembiayaan pinjaman perumahan khususnya kelompok anak muda ekonomi GIG atau berniaga sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir menyampaikan surat tawaran kepada bakal pembeli Residensi Larkin Indah, Johor Bharu, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Dr Hasni Mohammad, Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dan mantan Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Seri Shahidan Kassim.
Shahidan yang menerima lantikan pada 9 Mac 2021 pernah mengusulkan cadangan mengkaji semula potensi kira-kira 20 projek di bawah perbadanan itu yang telah atau akan ditamatkan agar boleh dibangunkan berdasarkan konsep bersesuaian dengan keperluan semasa.
Beliau dilaporkan berkata, sebanyak 20,587 unit telah siap dibina, 24,756 unit dalam pembinaan manakala 7,420 unit masih dalam perancangan.
Pada majlis itu, Ismail Sabri turut melawat kediaman contoh Residensi yang memiliki 1,174 unit kediaman lengkap dengan fasiliti asas.
Terdapat 16 institusi kewangan yang menyokong kolaborasi untuk skim berkenaan.
Senarai penuh boleh dirujuk di laman web SJKP www.skjp.com.my.
Dalam pada itu, Dr Fathul berkata, program rintis ini disasarkan kepada bakal pembeli Residensi Dan anak muda berusia 35 tahun ke bawah.
“Golongan sasaran adalah yang tiada gaji tetap, tiada slip gaji untuk mendapatkan kemudahan pembiayaan gadai janji,” katanya.