KUALA LUMPUR : Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan persatuan untuk meneruskan tindakan
undang-undang bagi memaksa kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjawab soalan mengenai langkah yang telah diambil untuk membendung Covid-19 di
Malaysia.
Peguam PPIM, Dato’ Sri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata kekecewaan PPIM adalah kerana kes tersebut membabitkan kepentingan awam.
“Walau bagaimanapun, PPIM tetap menghormati keputusan mahkamah tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, Jahaberdeen berkata, PPIM telah pun mengarahkan peguamnya untuk memfailkan rayuan dengan harapan memperolehi kebenaran mahkamah untuk mendengar
semakan kehakiman sepenuhnya.
Ini kerana PPIM berasa bertanggungjawab terhadap pengadu-pengadu dan rakyat secara
amnya.
“Saya akan meneliti alasan penghakiman mahkamah tinggi dalam mengatur hujahan di
peringkat rayuan,” jelasnya.
Pada April tahun lalu, PPIM dan tiga doktor memfailkan semakan kehakiman terhadap tiga pihak antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu-isu Covid-19 di
Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Semakan secara sebelah pihak (ex-parte) difailkan oleh Bendahari PPIM, Tengku Faedzah
Raja Fuad, Dr Hafiz Sulaiman, Dr A Roland Victor dan Dr Sani Ashari selaku pemohon.
Sebarang pertanyaan, hubungi Hotline Unit Media PPIM di talian +60136116666 (Adi).