spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Polis minta jangan jadi ‘hakim’ tanpa bukti

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR : Fenomena aduan dan tular di media sosial, dilihat tindakan tidak profesional dalam kalangan netizen.

Ini berikutan, netizen hanya berani bersuara di media sosial seperti aplikasi Whatsapp dan Facebook tanpa mengambil tahu kesan tindakan itu boleh menjejaskan diri sendiri dan orang lain kelak.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad, berkata netizen yang membuat aduan dan menularkannya dengan tidak menggunakan saluran betul sebelum siasatan dijalankan, dianggap sebagai hakim tanpa fakta sahih.

Katanya, tindakan tidak profesional itu boleh mendedahkan mangsa terdedah kecaman dan komen negatif yang boleh mempengaruhi emosi, malah mendorong masyarakat menerima anggapan tidak benar terhadap pihak berkenaan.

“Saya berpandangan bahawa bagi isu sensitif lebih-lebih lagi membabitkan maruah, ia perlu dilakukan mengikut saluran betul dengan membuat laporan kepada pihak berkaitan.

“Saya melihat masyarakat kini hanya berani menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung sesuatu isu dengan menularkan isu berkenaan menerusi media sosial seperti aplikasi WhatsApp dan Facebook, namun enggan bertindak dengan betul (membuat laporan),” katanya kepada media.

Justeru, mereka yang mahu membuat aduan seharusnya melaporkan segera kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

Sementara itu, Azri berkata, pihaknya menerima laporan seramai 1,571 pegawai dan anggota polis dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tahun lalu, antara kesalahan integriti yang dilakukan ialah berkahwin tanpa kebenaran serta enggan menerima laporan.

Selain itu, tidak mengisytiharkan harta, mengunjungi pusat hiburan serta meminta imbuhan.

Katanya, mereka yang terbabit kesalahan integriti disiasat mengikut Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Selain itu, beliau berkata, 23 pegawai serta anggota polis direkodkan terbabit kesalahan jenayah, rasuah (18), dadah (84) dan syariah (48).

Justeru, pihak jabatannya akan memberi fokus kepada enam elemen, tahun ini bagi memperkasakan integriti warga PDRM.

Katamya, elemen berkenaan ialah memperkasakan tadbir urus/kepolisan, pengurusan aduan, risikan/operasi, siasatan, pematuhan, serta agama dan kaunseling.

Azri menjelaskan, elemen tadbir urus/kepolisan am membabitkan sudut perlakuan menerusi kursus, latihan dalam perkhidmatan dan program ilmiah berterusan kepada warga PDRM.

Elemen pengurusan aduan pula mempromosikan kewujudan e-SPA (Sistem Pengurusan Aduan) kepada orang awam serta warga PDRM.

Seterusnya, elemen risikan/operasi mempertingkatkan integriti dalam kalangan warga PDRM dengan menangani pembabitan mereka dengan penyalahgunaan dadah serta ketum, serbuan mengejut terhadap petugas barisan hadapan di lapangan bagi mencegah isu pemerasan di sekatan jalan raya.

Bagi elemen siasatan, beliau berkata, JIPS mempertingkatkan kualiti dalam siasatan pegawai dan anggota polis dengan menjalankan siasatan menyeluruh serta terperinci supaya mereka yang terbabit salah laku akan diadili sewajarnya berdasarkan fakta dan pembuktian.

“Dari segi elemen pematuhan, kami mengambil pendekatan pencegahan dengan mempertingkatkan pemeriksaan pematuhan untuk menutup ruang dan peluang berlakunya salah laku serta penyelewengan dalam kalangan pegawai dan anggota polis,” katanya.

Menerusi elemen agama dan kaunseling, beliau berkata, integriti warga kerja PDRM akan diperkasakan secara inklusif dengan menekankan aspek pembangunan, pencegahan serta pemulihan melalui pendekatan agama serta psikologi dan kaunseling.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases