Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Jangan seperti sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi. Malah, janganlah bersifat bagai kacang lupakan kulit.
Peribahasa ini sesuai ditujukan kepada Pakatan Harapan (PH) agar tidak lupa tujuan asal Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan pembangkang.
Tujuan asal MoU itu diadakan bagi mengembalikan kestabilan dan kelancaran politik negara bagi menangani COVID-19 dan memulihkan ekonomi menerusi pendekatan kerjasama ‘dwipartisan’.
PH juga jangan lupa langkah yang diusahakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu bertujuan supaya kerjasama ini tidak hanya berteraskan pertimbangan politik, sebaliknya fokus kepada agenda lebih penting.
Selain peringatan itu, Ketua UMNO Cawangan KLCC, Datuk Seri Dzulkarnain Taib turut mengingatkan PH bahawa memorandum itu juga dilaksanakan sebagai timbal balas membabitkan umur kelayakan pengundi 18 tahun yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan.
“Sebagai timbal balas (MoU), jadi kerajaan (Persekutuan) pun bersetuju dengar rungutan atau desakan daripada pembangkang umpama isu pengundi 18 tahun, dan kerajaan pun dah luluskan dan laksanakannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi Wacanakini.com, hari ini.
Bagaimanapun, dalam tempoh rundingan MoU bermula September 2021 dan dijangka tamat Julai depan itu, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu menyatakan bahawa PH tidak teragak-agak untuk menarik balik MoU sekiranya RUU Anti Lompat Parti tidak diluluskan pada sesi Parlimen yang berlangsung pada Mac.
Malah tindakan itu jelas mengiyakan dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa pembangkang hanya mempunyai muslihat melalui MoU berkenaan.
Justeru, Dzulkarnain menyelar kenyataan Anwar dengan menyifatkan tindakan Ketua Pembangkang itu seolah tidak menghormati semangat kerjasama dijalin dengan kerajaan Persekutuan melalui MoU berkenaan.
“Salah satu kelemahan MoU ini nampaknya, pembangkang tidak menghormati MoU ini. Dia (pembangkang) mengugut, menekan, malah mendesak kerajaan pula. Ini perangai pembangkang malah melanggar semangat MoU ini.
“Sepatutnya mereka berbincang baik dengan kerajaan, bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini sebaik mungkin.
“Presiden UMNO kita ada menyebut, mereka (pembangkang) sebenarnya tidak mempunyai niat bersih, tetapi mempunyai niat jahat. Sebab kerajaan dah laksanakan undi 18 tahun, sekarang mereka paksa (Akta RUU Anti Lompat Parti) pula,” katanya ketika diminta mengulas mengenai desakan pembangkang menarik semula sokongan MoU.
Dzulkarnain menjelaskan, sebarang rang undang-undang atau akta sebelum diluluskan di Parlimen perlu melalui kajian terperinci terlebih dahulu termasuk meneliti kesan jangka masa panjang yang bakal dihadapi.
“Kalau nak luluskan sebarang rang undang-undang atau akta perlu pengkajian lebih mendalam, perkara ini (Akta) tidak boleh disegerakan ikut sesuka hati. Namun, nampak gayanya, pembangkang apabila sudah ‘menghidu’ ura-ura PRU15 mahu diadakan awal, mereka paksa kerajaan luluskan akta segera.
“Mungkin mereka takut akan kalah besar pada PRU15 nanti dan ramai daripada Ahli Parlimen menang akan lompat (parti) menyokong kerajaan kerana hendak menyelamatkan karier politik mereka.
Beliau sekali lagi mengingatkan pembangkang, supaya fikir masak-masak sebelum menarik semula sokongan terhadap kerajaan sama ada impaknya baik untuk mereka atau tidak.
“Jika mereka menarik sokongan, dan kerajaan hari ini tumbang, mereka yang akan mengalami kerugian besar.
“Kita lihat sekarang, pembangkamg berpecah, ada PH, PKR, Muda, Warisan, Amanah, pecah 7, pecah 8, mereka tidak bersatu.
“Jadi, kalau mereka nak adakan PRU15 secepat mungkin, dipersilakan. BN akan menang lebih besar lebih dua pertiga majoriti. Kalau mungkin dia (pembangkang) tahu mereka akan kalah besar, buatlah PRU15 (awal),” katanya.