spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Penerima Sinovac lengkap dos penggalak syarat baharu masuk stadium – MFL

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR : Penerima vaksin primer Sinovac dan penggalak adalah syarat baharu masuk ke stadium bagi perlawanan Liga Malaysia (Liga M) 2022.

Penetapan prosedur operasi standard (SOP) baharu oleh Jabatan Belia dan Sukan Negara itu dimaklumkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Penetapan baharu itu juga membabitkan pegawai, pemain, petugas, dan penonton bagi perjalanan liga berkenaan sepanjang tahun 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, penganjur Liga M termasuk penonton dikehendaki mematuhi protokol kesihatan ditetapkan
selaras dengan SOP Am Sektor Sukan dan Rekreasi, berkuatkuasa di kawasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

Jelasnya, selain penerima vaksin primer Sinovac berusia 18 tahun ke atas, penerima semua jenis vaksin berusia 60 tahun ke atas juga perlu mendapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.

“Hari ini MFL menerima surat daripada Jabatan Belia dan Sukan Negara berhubung maklumat status vaksinasi bagi pegawai, pemain, petugas dan penonton bagi perjalanan Liga Malaysia pada tahun 2022.

“Ini kerana tempoh masa yang ditetapkan sebelum ini, pada 28 Februari 2022 kini dilanjutkan sehingga 31 Mac depan di mana status vaksinasi lengkap akan ditukarkan kepada tidak lengkap sekiranya belum mendapatkan dos penggalak.

“Selain itu, penerima lengkap vaksin Pfizer dan AstraZeneca yang berusia 60 tahun ke atas tanpa suntikan dos penggalak dianggap status vaksinasi tidak lengkap.

“Sekiranya mereka masih tidak mengambil suntikan dos penggalak sehingga 31 Mac 2022, mereka tidak dibenarkan turun ke stadium sebagaimana individu lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata hanya kanak-kanak berumur 13 tahun ke atas dibenarkan hadir ke stadium jika lengkap dua dos vaksinasi.

Menerusi kenyataan sama, MFL menjelaskan, SOP kemasukan penonton ke stadium yang dikeluarkan pihaknya adalah mengikut ketetapan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu Fasa 4.

Katanya, kuota kemasukan penonton bagi setiap perlawanan adalah 50 peratus daripada kapasiti stadium atau maksimum 20,000.

Berdasarkan ketetapan sebelum ini, hanya penonton lengkap vaksinasi serta dos penggalak dibenarkan masuk ke stadium.

MFL juga menjelaskan individu berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai masalah kesihatan atau penyakit kronik dan individu kontak rapat bergejala dinasihatkan tidak hadir ke stadium.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases