Lagu Pelukan Angkasa nyanyian Kumpulan SOG dan Shila Amzah diumumkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-36 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam tadi.
Kemenangan lagu ciptaan Raja Nazrin Shah dan lirik oleh Fazleena Hishamuddin itu melayakkan mereka membawa pulang trofi dan wang tunai RM100,000.
Manakala, tempat kedua menjadi milik lagu Cinta nyanyian Marsha dan ciptaan Hang Nadim (Akim Ahmad) serta penulis lirik Bunga Cantik (Stacy) menyaksikannya membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.
Tempat ketiga pula mengangkat lagu Mimpi nyanyian Haqiem Rusli yang merupakan ciptaannya bersama Datuk A. Aida. Kemenangan itu melayakkan mereka memenangi trofi dan wang tunai RM30,000.
Suara penuh emosi Aina Abdul menerusi lagu Sepi ciptaannya pula membawa tuah apabila diumumkan pemenang trofi Vokal Terbaik dengan membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000.
Seterusnya, kategori Persembahan Terbaik tajaan bersama NOIR Beauty Essence pula menerima trofi dan wang tunai RM18,000 sekali lagi menjadi milik Masha menerusi lagu Cinta.
Anugerah Penyanyi Pilihan Popular AJL yang dibawakan oleh Siri OPPO Reno Seven,Lima G, Pakar Potret dimenangi oleh Khai Bahar dan Aina Abdul.
Lagu lain yang turut bertanding adalah Nafas Cinta, Boneka, Purnama, Intan Payung, Salahku, AEWO dan Lara.
Bertemakan ‘Ini Rentak Kita’, persembahan 12 finalis AJL36 diadili oleh 10 juri iaitu Datuk Mozhani Ismail (Ketua Juri), LY, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Mike Chan, Helen Yap, Altimet, Edrie Hashim, Faizal Tahir dan Datuk Habsah Hassan.
AJL36 yang disiarkan dalam norma baharu dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) itu menyaksikan gandingan pengacara Alif Satar dan Nabila Huda.
Malam kemuncak AJL36 turut diserikan dengan persembahan pembuka tirai oleh Datuk Jamal Abdillah, Mas Idayu, Ayda Jebat dan kumpulan Cassia dengan lagu Bolehlah Boleh, Samrah Mentari, Pencuri Hati dan X Perlu.
Malam berprestij ini turut diserikan dengan persembahan istimewa gandingan Kumpulan Wings dan orkestra di bawah pimpinan pengarah muzik Datuk Ramli M.S yang berkonsepkan ‘Rock Orchestra’ dengan lagu Taman Rashidah Utama, Hukum Karma, Harapan dan Opera Hidup.