KUALA LUMPUR : Kecoh di kalangan netizen, “selamatkan Louis Vuitton dan Channel dulu” gara-gara tular di media sosial video di mana kepulan asap keluar dari pusat beli belah terkemuka di Kuala Lumpur, Pavilion.
Kebakaran kecil tersebut berjaya dipadamkan dan insiden tersebut telah dimaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pavilion Kuala Lumpur, insiden kecil terbabit berlaku sekitar jam 2.10 petang dan difahamkan terjadi di salah sebuah restoran yang terletak di aras 1 pusat beli belah berkenaan.
Difahamkan bermula dari dapur memangang itik di salah sebuah restoran terkemuka pusat beli belah berkenaan.
Dua jentera Bomba dengan 11 anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.12 petang. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Bomba, api berkenaan padam dengan sendiri selain 5 penyembur api kecemasan telah rosak dalam kejadian tersebut.
Tambah jabatan berkenaan lagi, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam insiden terbabit. Tampil menjelaskan video dan gambar kepulan asap yang tular di media sosial, pihak Bomba menjelaskan ia adalah kerana asap berkenaan keluar dari corong asap yang berada di restoran berkenaan.
Sementara itu, pihak Pavilion Kuala Lumpur dalam kenyataan yang sama memberi jaminan bahawa mereka mengambil semua langkah berjaga-jaga yang diperlukan untuk memastikan keselamatan pelanggan.
Difahamkan, pusat beli belah berkenaan masih beroperasi seperti biasa.