spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Padah miliki status vaksin palsu, surirumah didenda RM700

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

BALING : Vaksin COVID-19 jenis CanSino tidak boleh diberikan kepada wanita hamil, namun tindakan seorang surirumah akhirnya membawa padah apabila didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret, di sini, Selasa, selepas mengaku bersalah memiliki status pendaftaran vaksinasi COVID-19 palsu, tahun lalu.

Tertuduh, Noor Azni Mohd Bakhtin, 31, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Majistret, Najwa Che Mat.

Pertuduhan terhadap Noor Azni, mengikut Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najwa menjatuhkan hukuman denda RM700 dan memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya tidak membayar denda berkenaan.

Noor Azni bagaimanapun membayar denda berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, wanita berkenaan ditahan pada 13 Mac lalu sebelum didakwa di mahkamah terbabit.

Shamsudin berkata, ia ekoran kejadian seorang petugas kesihatan di Klinik Kesihatan (KK) Kupang membuat semakan dengan KK Kuala Ketil bagi mendapatkan kepastian mengenai status pemberian vaksin jenis CanSino kepada wanita hamil, pada 5 Dis 2021.

“Pihak KK Kuala Ketil kemudian mengesahkan bahawa vaksin jenis tersebut tidak boleh diberikan kepada individu hamil.

“Selepas siasatan dalaman dijalankan, empat laporan polis dibuat oleh petugas kesihatan KK Kupang dan Kuala Ketil yang mendapati seramai 102 individu dipercayai memiliki status vaksinasi COVID-19 palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, pemilikan status vaksinasi palsu itu dikesan melalui pendaftaran kad vaksinasi COVID-19 dan pengesahan vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera yang diperoleh pada harga antara RM600 hingga RM1,000 setiap satu.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases