JOHOR BAHRU – Teka-teki siapa yang bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang baharu akhirnya terjawab apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi, 44, mengangkat sumpah hari ini.
Beliau mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene kira-kira pukul 3 petang.
Onn Hafiz menggantikan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang dilantik sebagai Menteri Besar Ke-18 yang memegang jawatan berkenaan pada 28 Februari 2020 hingga DUN Johor dibubarkan pada 22 Januari lalu.
Beliau yang merupakan Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu lalu dengan majoriti 6,543 undi.
Berkelulusan dalam jurusan perakaunan dari University of Hertfordshire, United Kingdom, Onn Hafiz merupakan cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO yang pertama, Datuk Onn Jaafar yang juga anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.