KUALA LUMPUR : Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Kita tidak akan tahu beratnya beban, kesusahan, ujian yang digalas seseorang sehinggalah kita berada di tempatnya.
Penulis pernah melalui ujian paling getir dalam hidup dimana hanya ada Tuhan sahaja tempat mengadu, jadi apabila seseorang datang kepada kita mohon bantuan, ye penulis faham perasaannya.
Hussein Chuang Abdullah, 44 pernah didedahkan kisah hidupnya yang menjadikan dewan komuniti sebagai ‘rumah’ setelah dihalau keluar pemilik rumah sewanya ekoran kegagalannya membayar tunggakan sewa.
Beliau sebelum ini terpaksa menutup perniagaan ‘hardware’ yang dijalankan lapan tahun sebelum ini.
Hussein bersama bapanya, Chuang Khe Chong, 81, merintih pertolongan orang ke sana ke mari.
Tiada siapa bantu walaupun sebangsa dengannya, yang akhirnya membawanya ke Surau Al Muttaqqiem dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 4 Segambut di mana mereka mula dibantu.
MPPWP Sub Zon 4 Segambut membenarkan anak beranak itu menetap di Dewan Masyarakat Taman Sri Sinar sejak lebih empat bulan lalu.
Dewan itu terletak kira-kira 200 meter daripada Baitulmal Wilayah Persekutuan.
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, ayahnya yang sudah uzur diserang sakit sawan sejak seminggu lalu setelah disahkan terdapat jangkitan kuman di bahagian otaknya.
Jelas Hussein, bapanya kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
“Bapa sudah boleh membuka mata dan menggerakkan tangan dan kakinya tetapi tahap kesedaranya dah hilang.
“Saya masih tinggal di dewan tetapi apabila dia keluar wad nanti saya akan membawa dia bersama saya ke PPR yang baharu saya peroleh kuncinya atas bantuan MPPWP dan UMNO Segambut,” katanya kepada Wacanakini.com.
Hussein turut menjelaskan, sehari sebelum bapanya terkena sawan bapanya telah mendaftar memeluk Islam di JAWI dan nama Islamnya ialah Muhammad Alan Chuang bagaimanapun belum daftar lagi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Saya berharap bantuan perubatan dan sara diri untuk bapa kerana ketika ini saya tidak berupaya mendapatkan kerja tetap dalam situasi menjaga bapa saya yang tidak berupaya untuk melakukan apa-apa,” katanya.
Hussein memeluk Islam setelah melihat keindahan agama ini sepanjang empat bulan menetap di dewan berhampiran surau dan kini dia menjalankan tugas membersihkan surau dan dewan komuniti.