Oleh Fhatihah Zakinan
SHAH ALAM : Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mencadangkan supaya amalan mengimbas kod aplikasi MySejahtera ketika memasuki mana-mana premis dihentikan memandangkan negara beralih ke fasa endemik mulai 1 April.
Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai berkata, fungsi aplikasi MySejahtera membolehkan pengesanan kontak rapat ketika pandemik berada pada kemuncak tetapi kini ia tidak lagi berguna seperti pada fasa awal pandemik COVID-19.
Katanya, meskipun aplikasi itu masih boleh digunakan untuk tujuan yang baik namun kebelakangan ini ia menjadi kebimbangan awam apabila membabitkan keselamatan data berkenaan.
“Ciri pengesanan kontak yang ada menerusi aplikasi ini masih boleh dikekalkan kerana semua pihak tidak mengetahui bila pandemik lain akan muncul.
“Ia juga boleh digunakan sebagai rekod kesihatan peribadi kerana ia sudah sedia dihubungkan dengan identifikasi setiap individu serta tidak boleh dipindah alih, cuma bimbang tentang keselamatan data pada aplikasi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tegasnya, berdasarkan isu yang dikongsikan di media sosial berkenaan pemilikan aplikasi berkenaan, beliau berharap supaya kerajaan terus bersikap proaktif dalam menjana kepercayaan rakyat terhadap aplikasi ini.
“Ia dengan harapan supaya akhirnya aplikasi itu akan digunakan dalam pengurusan rekod kesihatan ke arah sistem penjagaan kesihatan yang berkesan untuk negara,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, fungsi pengesanan kontak rapat tidak lagi berguna kerana sudah melepasi kemampuan disebabkan kes jangkitan yang tinggi dalam komuniti direkodkan pada masa ini.
“Dengan jumlah kes positif yang tinggi dalam kalangan dan sekeliling kita, pengesanan kontak tidak lagi boleh digunakan pada skala yang luas kerana ia tidak akan memberikan hasil yang diharapkan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, aplikasi itu masih boleh boleh digunakan untuk tujuan lain lebih baik memandangkan ia diguna pakai oleh sebahagian besar populasi negara ini.