Pelbagai pihak menuntut Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Syed Hussain Syed Husman meletakkan jawatan sahaja kerana dilihat hilang fokus perjuangan asal MEF yang sewajarnya memastikan hak majikan dan pekerja terjaga.
MEF diselar selepas mengeluarkan kenyataan meminta kerajaan meletakkan syarat pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya mengikut keperluan tertentu sahaja.
Apa motif sebenar MEF dalam isu ini? Kenapa mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris hati rakyat?
MEF sepatutnya menyelesaikan isu majikan tipu pekerja, culas tidak bayar KWSP padahal wujud potongan dalam slip gaji.
Ramai tidak lupa, detik akhir sebelum penutupan Kumpulan Utusan pada 2018, majikan tidak mencarum KWSP dan isu ini yang sepatutnya MEF perjuangkan.
Dalam tempoh PKP pun ada majikan memotong gaji kerana alasan pekerja tidak dapat hadir, ramai juga dibuang kerja.
Adakah mereka yang mewakili majikan ini takut pekerja akan tahu caruman tidak cukup?
Adakah mereka ini hanya sebagai ‘anjing-anjing’ yang menyalak bagi pihak Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana Presiden MEF pernah belajar di sekolah sama iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dengan Menteri Kewangan itu.
MEF perlu bersikap pro rakyat bukannya hanya ‘menjilat’ orang atasan tanpa mempedulikan nasib rakyat.
Kenapa takut sangat pekerja ada duit lebih?
Kenapa takut apabila pekerja atau rakyat tambah pendapatan dan keluar dari kemiskinan mereka?
Kenapa takut sangat rakyat membayar hutang dan menguruskan sendiri kewangan mereka?
Baguslah jika pekerja ada duit, mereka ada lah usaha untuk berniaga untuk berbelanja, mereka berupayalah untuk menambah pendapatan keluarga.
Duit KWSP ini akan berpusing, bergerak dalam negara, peniaga-peniaga akan dapat merasa wang yang dibelanjakan.
Sewajarnya menumpukan majikan yang menggajikan warga asing sehingga menafikan peluang untuk rakyat tempatan.
Isu yang sudah berpuluh tahun tetapi tiada penyelesaian.
Tetapi kenapa ketika ini duit pekerja juga yang MEF sibuk-sibukkan?