Kuala Lumpur: Kes harian Covid-19 di negara ini kembali mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 26,534 kes semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang dijangkiti virus berkenaan ialah sebanyak 3,872,135 kes.
Beliau berkata, jumlah kes itu membabitkan 25,843 kes penularan tempatan dengan 691 kes import yang mendapat jangkitan luar negara.
“Paling tinggi kategori yang dikesan semalam adalah kategori dua iaitu sebanyak 15,842 kes atau 59.71 peratus, ia dikuti kategori satu (10,516), kategori tiga dan kategori empat masing-masing dengan 65 kes dan 46 kes bagi kategori lima.
“Daripada jumlah keseluruhan 176 kes bagi kategori tiga hingga lima, sebanyak 45 kes (25.57 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi manakala 91 kes (51.70 peratus) menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 40 kes (22.73 peratus) sudah menerima dos penggalak (booster) dan 95 kes (53.98 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas.
“Manakala 61 kes lagi (34.66 peratus) mempunyai komorbid,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 376 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) iaitu 152 kes disahkan Covid-19 serta 224 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.
Bagi pesakit dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat 222 kes iaitu 90 kes disahkan Covid-19 serta 132 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.
“Sebanyak 31,234 kes sembuh dilaporkan semalam menjadikan jumlah kumulatif adalah 3,533,994,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat empat kluster baru dikesan dan 366 masih aktif.
“Ia menjadikan jumlah kluster sebanyak 6,887 kluster dan 6,521 kluster sudah tamat,” katanya.
sumber Harian Metro