KLANG – Seorang lelaki warga Bangladesh direman gara-gara menepuk punggung pekerja wanita dalam kejadian di sebuah gudang di Telok Gong, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian kira-kira jam 9 pagi itu berlaku ketika mangsa yang juga ibu tunggal sedang melakukan kerja.
“Penyelia gudang itu secara tiba-tiba telah bertindak menepuk punggung mangsa yang berusia 29 tahun itu.
“Tersentak dengan tindakan lelaki warga Bangladesh itu, mangsa telah membuat satu laporan polis,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Khamis.
Menurut beliau, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Klang Selatan yang diketuai Inspektor Khairul Shahril Azmam telah menahan suspek di gudang terbabit kira-kira jam 11 malam, pada hari yang sama.
Jelasnya, suspek berusia 35 tahun itu kini direman di bawah Akta Imigresen.