Oleh Nurman Nasyriq
PONTIAN – Sesebuah kerajaan yang stabil dan kukuh dapat membolehkan dan melancarkan perancangan sesuatu dasar dilaksanakan, sekali gus mampu meyakinkan pelabur datang ke negeri ini.
Menteri Besar, Dattuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, bukti sesebuah kerajaan itu stabil dapat dilihat menerusi pentadbiran yang mengamalkan polisi mesra pelaburan.
“Perkara ini boleh dilakukan. Sebagai contoh, syarikat kontrak berkaitan penyelenggaraan, pengurusan dan sebagainya dapat dilahirkan dalam masa terdekat.
“Masih banyak lagi perancangan yang tertangguh dan tidak dapat dilaksanakan. Justeru, pilihan raya ini dapat membolehkan wujudnya sebuah kerajaan yang stabil dan mesra pelabur,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Kakitangan Mctronic Benut, di sini semalam.
Menteri Besar berkata, Johor sememangnya berpotensi untuk menjadi pilihan pelabur berikutan kedudukannya yang strategik kerana berjiran dengan negara maju, Singapura.
“Sekiranya kita (Johor) dapat menyediakan infrastruktur yang baik dan polisi undang-undang yang kukuh serta mesra pelabur, saya yakin Johor mampu menjadi sebuah negeri yang menjadi pilihan pelabur.
“Walau bagaimanapun, sekiranya, kerajaan terumbang-ambing, bagaimana mereka (pelabur) hendak datang untuk melabur,” katanya.