KUALA LUMPUR : Kerajaan perlu mengkaji semula untuk menaikkan harga tender bagi membolehkan kontraktor menggajikan pekerja mengikut gaji minimum ditetapkan.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (PERKOBF), Tukiman Radion, berkata kontraktor khususnya bersaiz kecil sentiasa berhadapan isu permohonan tender ditolak jika meletakkan harga lebih tinggi berbanding yang diperuntukkan kementerian.
“Kami amat menyokong perlaksanaan gaji minimum RM1,500 kerana memahami keperluan rakyat dengan kos sara hidup tinggi ketika ini.
“Bagaimanapun kami berhadapan isu kos bahan binaan setiap dua minggu dan lain-lain menyebabkan kos menyiapkan projek turut meningkat.
“Sehubungan itu, jika kerajaan boleh mempertimbangkan harga projek yang bersesuaian, sudah tentu ia tidak membebankan kontraktor untuk membayar lebih,” katanya kepada Wacanakini.com.
Mengulas pengumuman kerajaan itu, beliau berkata walaupun bagi majikan mereka berasa rugi menggajikan pekerja dengan tangga harga sedemikian kerana mungkin pekerja belum mahir dan masih baru.
“Bagaimanapun majikan mungkin boleh menyediakan tempoh pemerhatian selama tiga bulan dengan gaji minimun untuk melihat dia mampu bertahan atau tidak.
“Mungkin juga majikan perlu mengurangkan kuantiti pekerja hanya menggajikan mereka yang mahir sahaja di mana isu menaikkan gaji tidak ada masalah kerana golongan yang dipilih adalah profesional dan menyumbang kepada industri.
“Bagi saya tiada isu pengangguran dengan pelaksanaan gaji minimun ini kerana mana-mana pekerja yang tidak mahir dalam bidang ini mungkin mahir di bidang lain kerana setiap orang ada kemahiran masing-masing,” katanya.