spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Kenapa rakyat bergadai nyawa demi sesuap nasi?

- Advertisement -spot_img

Media Malaysia dan pihak berkuasa diminta jangan memandang rakyat yang berniaga sebagai penjenayah terutama yang berniaga buah-buahan di simpang lampu isyarat.

Aktiviti itu biasa dilakukan di Thailand, Indonesia, India, Filipina dan China.

Adakah kita merasa perlunya ‘Status Quo’ jalan raya kita cantik tanpa ada orang berniaga atau gelandangan dari kereta ke kereta?

Sedar tak matawang negara kita sudah jatuh?

Ramai rakyat yang mendakwa pengurup matawang di Thailand enggan terima matawang Malaysia (RM).

Senario hari ini, ibu-ibu tunggal habis upaya mengerah modal mencari lokasi untuk berniaga makanan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Lihat sahaja di Instagram, orang yang tak pandai masak pun berusaha mempromosi jualan makanan dari dapur rumah mereka.

Malangnya, sebagai contoh seorang peniaga di Bandar Bharu Batang Kali mendakwa permohonan lesen beliau tidak diluluskan walaupun sudah dua tahun memohon.

Anehnya, ruang niaga Majlis Perbandaran Hulu Selangor masih banyak, tetapi kenapa tidak benarkan rakyat berniaga? Situasi sama di Majlis Perbandaran Sepang sebagaimana didedahkan media baru-baru ini.

Apabila rakyat yang terdesak untuk mencari sesuap ini berniaga di jalanan atau tepi jalan atau laluan pejalan, mereka ini pula dianggap ‘penjenayah’ seolah-olah menjual barang terlarang.

Agensi bank pula menawarkan pinjaman kepada orang yang dibuang kerja tetapi dalam borang permohonan perlu ditulis nama majikan dan lampiran penyata gaji.

Drama apakah yang sedang dilakukan, adakah kita masih merasakan ‘high class’ jijik melihat orang berniaga di celah-celah kereta berhenti di lampu isyarat?

Adakah kita rasa malu? Adakah kita rasa terancam mati serta merta dengan kehadiran penjual balang-balang mangga?

Bagaimana pula penjual-penjual ‘Ice’ yang sebenarnya tidak pernah kelihatan langsung di jalan raya tetapi ancaman mereka lebih besar?

Bukankah rasa malu itu sepatutnya dirasakan oleh pihak yang gagal menjalankan amanah mengembalikan wang milik rakyat seperti KWSP pada masa mereka benar-benar terdesak dan memerlukan?

Tambahan pula dalam waktu pandemik ini, mampukah mereka bernafas sehingga umur 55 tahun. Iaitu had umur pengeluaran wang KWSP?

Berapakah statistik kematian pencarum KWSP yang mati muda termasuk Cina dan India dalam tempoh dua tahun sepanjang kes Covid-19 ini?

Berapa banyak kes faraid orang Islam juga mati muda yang diuruskan oleh pihak berkaitan bermula 2020 sehingga 2022?

Mengapakah tekanan-tekanan arahan kayangan menambahkan lagi tugas-tugas penguatkuasa yang juga menguatkuasakan undang-undang dikerahkan menyaman peniaga-peniaga jalanan ini?

Kita akui memang ada peruntukan kuasa polis dan majlis bagi menghalang aktiviti lalu lintas berkenaan, tetapi bukankah lebih molek tumpuan penguatkuasa ini kepada aktiviti jenayah sebenar seperti jual dadah, scammer, penipuan dan perjudian ‘online’ yang semakin berleluasa.

Baru-baru ini telah viral, 11,000 pemegang akaun bank mendakwa bank ‘mencuri’ wang mereka sehingga laporan polis dibuat dan bank itu diheret ke mahkamah.

Istilah bombastik seperti ‘beku akaun, ralat dalam pemprosesan’ digunakan bagi menutup perbuatan sebenar iaitu ‘kelepet’.

Dalam pada itu, kita menyaksikan ahli politik pula berkeluh kesah mengenai mendapatkan kuasa di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Wang-wang dibelanjakan untuk menghiasi tiang-tiang lampu bendera dan bahan kempen sedangkan rakyat tidak dapat manfaat terus daripada semua itu.

Pengalaman penulis sendiri ketika membuat liputan Pilihan Raya Negeri Melaka, ahli politik hanya melambai tangan menghulurkan kertas risalah yang tidak boleh menyara pun kehidupan mereka, sekeping gula melaka pun tidak sudi membeli.

Peniaga terkebil melihat kehadiran golongan kayangan dengan baju sedondon berjalan ke sana ke mari seolah-olah kesusahan rakyat mencari wang tidak terlihat pada mata pandangan ahli politik.

Lebih menambahkan luka, berita Mahkamah New York, nama-nama VIP Malaysia yang baharu sahaja disebut terlibat menerima wang-wang 1MDB berpuluh juta setelah sekian lama isu ini didedahkan.

Golongan kayangan ini menyamun berpuluh juta sehingga mencecah bilion sejak 2013 lagi, dan mereka masih lagi mampu makan ‘daging waghyu’ berharga lebih RM1,000 di restoran mewah sementara menanti penguatkuasa datang menyiasat mereka.

Tetapi peniaga jalanan ini yang hanya berniaga satu balang buah RM10 dilihat besarnya jenayah mereka, belum tentu laku 100 balang pun jika dikompaun atau ditangkap, mampukah dia melihat sebutir nasi untuk makanan esoknya?

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases