KUALA LUMPUR : Peguam Siti Zabedah Kasim atau dikenali Siti Kasim mempersoalkan tindakan memasukan bekas isteri Pengerusi Eksekutif Naza World SM Faisal SM Nasimuddin, ke penjara wanita Kajang hanya kerana tidak setuju lawatan yang dicadangkan.
Beliau hadir sebagai pemerhati perjalanan kes jenayah domestik yang difailkan oleh Emilia Hanafi terhadap Faisal di Mahkamah Jenayah 3 Jalan Duta di sini hari ini.
“Ibu kepada tiga anak ini kemungkinan ditangkap dan dipenjarakan hari ini atas perintah Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan atas sebab tidak mematuhi perintah tarikh lawatan anak-anak pada tahun 2018.
“Beliau bagaimanapun sudah membuat rayuan untuk penukaran tarikh tetapi ditolak oleh mahkamah menyebabkan perintah penjara itu akan diteruskan.
“Hari ini Emilia hadir kerana ada sapina daripada bekas suami untuk beri keterangan bagi kes jenayah domestik di Mahkamah Jenayah, beliau terpaksa hadir jika tidak kes ini akan digugurkan.
“Bagaimanapun, kehadirannya hari ini akan menyebabkan beliau kemungkinan dipenjarakan kerana polis yang dapat arahan Mahkamah Tinggi Syariah sudah ada di sini,” katanya ketika siaran langsung diadakan di perkarangan Mahkamah Jenayah 3 Jalan Duta di sini hari ini.
Beliau mempersoalkan kenapa Mahkamah Tinggi Syariah beria-ria hendak tangkap ibu tiga anak ini pada hari Jumaat?
“Esok, lusa sudah tak boleh jamin kerana prosidur jaminan hanya waktu pejabat Isnin hingga Jumaat sahaja.
“Isnin baru boleh jamin, jadi tiga hari ini ke lokap juga ke? Supaya reputasi ibu yang sedang berjuang untuk keadilan dan anaknya dipandang hina?
“Tiada hati perut? Adakah beliau sanggup aniaya seorang wanita tiada upaya kewangan, bekas isteri dan ibu kepada anak-anaknya?
“Tak perlu label negara Islam jika tiada perikemanusiaan, Islam sepatutnya bertimbang rasa itu yang penting,” katanya.
Turut hadir, wakil PPIM, Gulab Jan Fazal Eladi dan wakil Encik Adam dari Sisters In Islam bersama Emilia Hanafi dan anaknya.
Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan penjara tujuh hari terhadap Emilia kerana melanggar perintah mahkamah berhubung hak penjagaan ketiga-tiga anak mereka.
Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman itu selapas wanita berkenaan memohon rayuan terhadap keputusan itu.
Hakim Arif Mohamed Fouzi membenarkan permohonan itu dan menetapkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Emilia melanggar perintah itu sebanyak dua kali pada tahun lalu – iaitu pada 6 dan 7 Oktober 2018 kerana menghadiri program keagamaan di Baling.