KUALA LUMPUR : Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000, gaji minimun RM1,500 dan Akta 342 tidak diteruskan, benar-benar beri kesan di hati rakyat.
Demikian pandangan Presiden Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (SRIKANDI), Datuk Norasyikin Abdul Ghani berhubung tiga tuntutan rakyat itu sudah dipersetujui kerajaan bukti keprihatinan terhadap nasib rakyat bukan sekadar retorik.
“Perdana Menteri dilihat menjuarai ‘trending media sosial’ daripada platform TikTok, Instagram, Facebook dan Twitter, menjadi perbualan umum rakyat yang menyanjung tinggi keputusan kerajaan.
“Kerajaan yang mendengar keluh kesah rakyat akan dihargai dan diingati kerana itulah adat dan adab kita rakyat Malaysia agar mensyukuri mereka yang berbudi dididik sejak dahulu lagi.
“Ramai yang kata pengumuman itu sebab ‘agenda politik’, saya hendak tanya Tuan-tuan dan Puan-puan siapa yang tiada agenda? Hanya malaikat sahaja tiada agenda tetapi apa salahnya jika agenda itu agenda untuk rakyat, dinikmati rakyat?,” katanya kepada Wacanakini.com.
Dalam sidang media khas pada 16 Mac 2022, Perdana Menteri membuat keputusan itu berdasarkan hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.
Untuk rekod, pada 2 Mac 2022, KWSP dalam satu kenyataan dilaporkan media tempatan menolak tuntutan rakyat untuk mengeluarkan simpanan mereka ketika mereka kurang pendapatan untuk meneruskan hidup.
Pada hujung Januari lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata beliau lebih rela meletak jawatan jika kerajaan tidak setuju cadangan Kementerian Kewangan untuk menolak kehendak rakyat agar dibenarkan pengeluaran KWSP secara ‘one-off’ sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun, Zafrul sehingga laporan ini ditulis masih tidak menunaikan apa yang pernah dikatakannya dahulu.