KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari meminta pengesahan maklumat yang diterimanya bahawa Perdana Menteri sudah bawa isu tuntutan RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), milik rakyat ke mesyuarat kabinet.
Bagaimanapun, usul itu telah dibantah sebahagian Menteri-menteri yang menyebabkan ia tidak dapat dikeluarkan.
“Kita tidak tahu apa berlaku dalam mesyuarat itu, tetapi kita minta pengesahan.
“Jika benar, ia perkembangan yang amat menyedihkan bagaimana seorang Perdana Menteri yang telah membawa isu kepentingan rakyat tetapi dibantah oleh Menteri-menteri yang dipilih, diharap rakyat untuk membantu mereka.
“Saya tidak fikir YAB Perdana Menteri ini boleh diletakkan selemah itu, tetapi jika benar maklumat ini ia perkembangan yang tidak baik untuk persepsi rakyat terhadap kekuatan kerajaan yang ada hari ini.
“Tidak kira sudah bawa atau tidak tetapi saya fikir, Ahli Parlimen boleh bersama dengan tuntutan rakyat,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, Penggal ke-lima Dewan Rakyat semalam.
Beliau terdahulu memaklumkan sudah menerima Memorandum Tuntutan RM10,000 KWSP oleh ratusan ribu rakyat oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia.
“Saya menyeru Menteri-menteri yang ada boleh membuat satu keputusan Collective Responsibility menyokong tuntutan ini walaupun mungkin memberi kesan tetapi ingatlah bahawa ia mampu menyuntik kekuatan ekonomi rakyat.
“Rakyat tuntut talian hayat terakhir, rakyat sedang bertahtih, perlu bina semula hidup yang sudah hancur selepas pandemik dan banjir, mereka sudah hilang modal.
“Jangan bercakap mengenai masa tua, 20 tahun akan datang tetapi rakyat bercakap tentang apa mereka mahu makan malam ini.
“Mereka bercakap mengenai apa nak makan malam ini atas meja mereka,” katanya.
Untuk rekod, sepanjang tempoh sembilan bulan pertama 2021, pendapatan pelaburan kasar KWSP meningkat sebanyak 7.7 peratus kepada RM48.02 bilion berbanding tempoh sama pada 2020.
Pada 2020, dana persaraan itu mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.2 peratus yang membabitkan agihan sebanyak RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional dan 4.9 peratus bagi Simpanan Syariah yang berjumlah RM4.76 bilion.