Oleh Fhatihah Zakinan
JOHOR BHARU: Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk semula kerajaan Johor secara solo dengan ‘menyapu bersih’ lebih 80 peratus kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15, malam ini.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan BN berjaya membentuk kerajaan Johor yang baharu dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN.
Ia sekali gus menunjukkan BN berjaya menerima mandat untuk mentadbir kerajaan.
Keputusan itu juga memberi kejutan antaranya, DAP (PH) kehilangan tiga kerusi separa luar bandar iaitu Paloh, Pekan Nanas, dan Yong Peng kepada MCA (BN).
DAP kehilangan kerusi DUN Paloh yang sebelum ini disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melayu tunggal parti itu, Sheikh Omar Ali.
Lebih mengejutkan, penyandang DUN Gambir milik BERSATU (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, terpaksa beralah dengan menyerahkan kerusi berkenaan kepada BN meskipun wajah Pengerusi parti itu sebagai poster boy untuk bahan kempen parti mereka digunakan secara meluas di negeri ini.
Di pihak Perikatan Nasional (PN), hanya menang dua kerusi masing-masing di Bukit Kepong dan Simpang Jeram.
Pakatan Harapan (PH) yang bekerjasama dengan parti baharu dibentuk, parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menang sembilan kerusi iaitu DUN Tangkak, Bentayan, Penggaram, Mengkibol, Johor Jaya, Stulang, Skudai, Senai, dan Bukit Batu.
Muda yang juga parti terlalu baharu itu, sebelum ini mengambil risiko untuk bertanding pada PRN Johor, tewas di lima daripada enam kerusi yang ditandingi kecuali di DUN Puteri Wangsa.
Parti Pejuang yang diasaskan Perdana Menteri Ke-4 dan Ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad turut kecundang di semua 42 kerusi yang ditanding.
PRN Johor kali ini, mencatat sejarah pilihan raya pertama di negara ini bagi anak muda merasai sendiri pengalaman keluar mengundi untuk memilih wakil rakyat, membabitkan 173,177 individu berusia 18 hingga 20 tahun.
Mengikut rekod, BN paling lama memerintah di Johor sehingga ia ditumbangkan pada tahun 2018 dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Manakala PH mempunyai pengalaman mentadbir kerajaan Johor selama 22 bulan sehingga ia ditumbangkan angkara pengkhianatan melalui Langkah Sheraton pada Februari tahun 2020.
Bagaimanapun, pemergian ADUN Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian, pada 21 Disember 2021 menjadikan kerajaan Johor hanya mempunyai kelebihan satu kerusi, iaitu 28 berbanding 27 kerusi milik PH.
Sebelum Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN, Johor dipimpin BN yang mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11), PAS (satu) dengan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi.
Kronologi Pengumuman SPR
12.08 pagi/13 Mac 2022
Keputusan PRN Johor : BN menang majoriti dengan 40 kerusi, PH 12kerusi, PN 3kerusi, MUDA 1kerusi
11.32 malam/12 Mac 2022
BN menang PRN Johor ke-15, dengan 35 kerusi
UMNO menyumbang 33 kerusi
MCA menyumbang 1 kerusi
MIC menyumbang 1 kerusi
11:14 malam/12 Mac 2022
BN menang 25kerusi, PH 5kerusi, PN 3kerusi
10:52 malam/ 12 Mac 2022
BN 18kerusi, PH 4kerusi, PN 2kerusi. – laman sesawang SPR