Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR: Dalam tempoh beberapa hari dilantik sebagai Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng tiba-tiba didesak oleh kepimpinan parti supaya meletakkan jawatannya berikutan kes perbicaraan rasuah projek terowong dasar laut membabitkan Ahli Parlimen Bagan itu masih berlangsung.
Adakah Guan Eng berani mengikut jejak langkah mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) pada 2018?
Persoalan yang timbul di sini, mengapa Guan Eng tidak didesak berbuat demikian ketika Lim Kit Siang masih menyandang sebagai Pengerusi DAP.
Bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Skudai, Dr Boo Cheng Hau yang juga anggota DAP Johor, mengkritik secara terbuka atas desakan itu dan menjelaskan, pemimpin yang berdepan dakwaan tuduhan rasuah sepatutnya mengambil inisiatif meletak jawatan dalam parti.
Beliau malah menggesa mentor yang juga veteran parti, Lim Kit Siang supaya menasihati anaknya untuk melepaskan jawatan kerana kes berkenaan.
Boo ketika dipetik FMT sebagai berkata, beliau sedia dikritik berhubung desakan terhadap Guan Eng untuk meletak jawatan kerana menegaskan DAP tidak mahu risiko hilang keyakinan rakyat disebabkan ‘sel barah’ berada dalam parti. Justeru, DAP harus berubah.
Katanya, ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) baharu DAP harus bebas daripada sebarang tuduhan mahkamah bagi memacu parti itu ke hadapan serta meraih semula keyakinan rakyat dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Sukar bagi DAP untuk mengekalkan prinsip dan nilai terasnya jika ia dipimpin oleh individu yang berdepan tuduhan di mahkamah.
“Saya percaya pengerusi kebangsaan (Guan Eng) adalah seorang pemimpin yang berkebolehan dan boleh membuat kemunculan semula pada bila-bila masa jika terbukti tidak bersalah di mahkamah.
“Saya berpendapat pengerusi kebangsaan patut mengundurkan diri, juga atas kecintaan terhadap parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai itu turut menggesa Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo menarik diri daripada menjadi peguam bela, Guan Eng di mahkamah bagi mengelak sebarang konflik kepentingan, termasuk kemungkinan menggantikannya sebagai pengerusi.
Boo mengulas lanjut, menggunakan strategi “penganiayaan politik” sebagai pembelaan secara tidak langsung memberi “tekanan tidak wajar” ke atas badan kehakiman.
“Justeru, ia bertentangan dengan pendirian jangka panjang parti dalam menegakkan kebebasan kehakiman.
“Saya percaya peletakan jawatan adalah (langkah) baik untuk pengerusi kebangsaan dan imej parti. DAP tidak boleh menyokong cara UMNO mengendalikan isu seperti ini ketika kita berusaha untuk menjadi parti politik dan negara bertaraf dunia,” katanya.
Boo turut memberi contoh Parti Tindakan Rakyat dan Parti Pekerja di Singapura mengkehendaki pemimpin atau ahlinya yang berdepan tuduhan rasuah sama ada berhenti atau dipecat daripada parti.
“Ini adalah cara yang patut diamalkan parti politik bertaraf dunia. DAP dan pengerusi kebangsaan patut mematuhi standard pemimpin-pemimpin ini,” katanya.
Terdahulu, pada 23 Mac lalu hari yang sama Boo memberi kritikan itu, sedang berlangsung kes perbicaraan berkaitan kes rasuah Guan Eng berhubung projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu di Mahkamah Sesyen, di sini.
Mahkamah Sesyen di sini diberitahu bahawa Pengarah Urusan Ewein Zanith Sdn Bhd (EZCB) Datuk Ewe Swee Kheng, meluahkan kebimbangan akan keselamatannya selepas membuat pendedahan berkaitan projek berkenaan.
Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Nazree Mansor, 32, berkata demikian ketika membacakan rakaman percakapan Ewe yang diambilnya di pejabat SPRM Pulau Pinang pada 14 Ogos 2021.
Mendiang Ewe yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15 meninggal dunia, selepas dilaporkan terjatuh di sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang pada 5 Oktober 2021.
Muhammad Nazree, yang juga saksi pendakwaan ke-15, dipanggil semula untuk memberi keterangan.
Menurut saksi itu, rakaman percakapan Ewe menyatakan, “Saya berasa sedikit bimbang dengan keselamatan saya selepas membuat pengakuan ini. Tetapi saya akan berjaga-jaga selepas ini.”
“YB LGE juga terlepas dari kes mahkamah berkaitan dengan skandal banglo yang dihadapinya yang mana saya (Ewe) tahu YB LGE adalah ‘untouchable’ pada masa itu,” kata saksi berkenaan yang membacakan rakaman percakapan mendiang.
Muhammad Nazree menambah, mendiang juga menyatakan beliau mendengar banyak cerita bahawa Guan Eng ada menerima wang daripada syarikat kontraktor, dan beliau perlu menceritakan perkara sebenar kerana jika dirahsiakan hal itu, tiba masa ia akan terbongkar dan menjejaskan perniagaannya.
Menurut saksi itu, Ewe juga menyatakan beliau tidak pernah dipaksa untuk memberi pernyataan itu, dan apa yang diceritakan kepada pihak SPRM adalah perkara yang sebenar, selain memaklumkan pertambahan pernyataan percakapan itu dibuat berkaitan perjumpaan dan pertolongan Guan Eng kepadanya.
Rakaman percakapan mendiang telah diambil oleh SPRM sebanyak enam kali termasuk rakaman percakapan terakhir pada 14 Ogos 2021.
Selain itu, Muhammad Nazree berkata, Ewe menerusi rakaman percakapannya menyatakan bahawa Guan Eng ada berjumpa dengannya.
“Beliau memaklumkan satu projek akan diberikan kepada syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli. YB LGE menyuruh saya untuk berjumpa dengan wakil CZBUCG iaitu Datuk Zarul untuk ‘deal’, bagi penjualan tanah kepada syarikat saya (EZCB).
“YB LGE juga beritahu saya jika ‘deal’ saya dengan Datuk Zarul berjaya, saya boleh ‘control’ duit kerana syarikat itu tidak ‘power’. Saya juga ada meminta bantuan dengan YB LGE dalam penamaan syarikat EZCB sebagai pemilik tanah Lot 702, yang telah diberikan kepada CZBUCG daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Berkaitan dengan projek lebuh raya dan terowong, saya memang berminat untuk memajukan tanah Lot 702 itu. Pada masa itu, saya mengenali Datuk Zarul melalui media yang dikenali sebagai ‘6 Billion Dollar Man’,” menurut rakaman percakapan Ewe itu.
Sementara itu, Muhammad Nazree tidak bersetuju dengan cadangan peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Guan Eng bahawa mendiang Ewe tidak memberi keterangan secara sukarela ketika rakaman percakapannya diambil pada 14 Ogos 2021, dan disebabkan itu ia bertentangan dengan keterangan lain.
Disoal peguam itu berhubung kematian Ewe sebelum saksi itu dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Guan Eng, Muhammad Nazree berkata beliau hanya mengetahui mengenai kematian Ewe daripada laporan media dan tahu siasatan telah dilakukan oleh pihak polis.
Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta, dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 (RM6.34 bilion) di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.
Pengerusi DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat, yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.