Mohd Nor Wahid
KUALA LUMPUR : MUAFAKAT Nasional (MN) yang digagaskan oleh UMNO dan PAS kini boleh dianggap sudah berkubur.
Perkara itu diluahkan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang berkata, perkara itu tidak perlu diselindung lagi.
“Dapat pahala niat. Niat untuk bergabung, niat untuk bersatu,” katanya dalam satu wawancara ekslusif bersama lima media, minggu lalu.
Saarani yang merupakan Menteri Besar Perak menjelaskan beberapa pandangan yang menggambarkan MN telah tiada.
“Saya kena ingatkan sekali lagi kepada semua orang. Tajuk penyatuan ini kena diingat. Penyatuan bermakna saling sokong menyokong, saling kukuh mengukuh dan saling memperkuatkan antara satu sama lain. Itu penyatuan.
“Tapi kalau penyatuan, nak ambil kerusi orang itu, nak ambil kerusi orang ini, apa benda? Kita saling melemahkan antara satu sama lain. Kita saling menindas antara satu sama lain.
“Penyatuan itu maksudnya mesti ada toleransi, saling percaya mempercayai, mesti ada niat untuk saling kukuh mengukuhkan, baru penyatuan,” katanya.
Beliau juga memberi contoh semasa PRN Melaka sebelum ini, Umno telah menawarkan kepada Pas sebanyak lima kerusi yang boleh dimenangi oleh parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu.
“Dengan sokongan Umno di Melaka, Pas boleh menang lima kerusi. Sebab Pas bukan kuat di Melaka. Tidak kuat. Tidak boleh menang pun tapi oleh kerana dia tak nak, tidak cukup lima, nak lebih, dah tinggal berapa kerusi Umno ini?
“Penyatuan antara Umno dan Pas ialah saling kukuh mengukuh. Bukan saling lemah-melemah. Sama juga di Johor dan Pilihan Raya Umum (PRU) kalau begitu,” katanya.