KUALA LUMPUR : Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata siasatan akan diambil terhadap teraju utama drama rantaian Perempuan Itu, Zul Ariffin yang memuat naik adegan panas drama itu.
Menerusi kenyataan di Twitter, Annuar Musa menegaskan Zul akan disiasat keana memuat naik paparan yang menyalahi undang-undang.
“Proses undang-undang berjalan. Pelakon Zul Ariffin akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta KMM (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) kerana posting (muat naik) YouTube yang menyalahi undang-undang.
“Yang pasti adegan seperti yang dipapar itu tidak akan dibenarkan tayang, sama ada bulan Ramadan atau bulan yang lain. Jagalah nilai dan budaya,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menentang keras penyiaran drama yang dikaitkan dengan penyiaran video itu yang bakal ditayangkan Ramadan ini.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata berdasarkan penelitian pihaknya, penyiaran program seumpama itu jelas mempamerkan perbuatan dilarang Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral melampaui batas serta bertentangan norma masyarakat dan hukum syarak.
JAKIM menyatakan pendirian dan pandangan mengenai isu terbabit kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) supaya tindakan tegas dapat diambil segera.
Pada malam Jumaat, Instagram Zul diserang netizen selepas dia memuat naik babak panas drama lakonannya itu di laman sosial berkenaan.
Video memperlihatkan Zul mendukung Siti Hariesa dari depan dianggap keterlaluan dan menyinggung sensitiviti banyak perlu serta tidak sesuai untuk tayangan masyarakat di negara ini.
Antara yang mencuri perhatian adalah ketika Zul merangkul badan Hariesa dan menggendong wanita itu dari depan.
Semalam, Zul Ariffin atau nama sebenar, Zulkifli Ariffin, 35, memohon maaf dan menyesal di atas tindakannya memuat naik video ‘teaser’ sebuah drama bersiri di akaun Instagram miliknya, baru-baru ini.