spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Warisan turut cuba nasib di Johor

- Advertisement -spot_img

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU – Selepas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengesahkan akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kini sebuah lagi parti turut mengumumkan akan bertanding.

Kali ini, Parti Warisan Sabah (Warisan) pula mengesahkan akan meletakkan calon mereka pada pilihan raya itu dan majlis pelancaran parti itu di negeri ini diadakan malam ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tiada salahnya jika kerajaan yang baharu datangnya daripada sebuah parti yang diasaskan di Sabah.

“Sudah tiba masanya kita tidak lagi main kad perkauman dan agama dalam politik. Negara ini bukan milik satu kaum sahaja, tetapi sebaliknya semua kaum.

“Jika pemimpin UMNO boleh datang dari Bagan Datuk, pemimpin PKR boleh datang dari Permatang Pauh, jadi apa salahnya jika kerajaan Warisan datang dari Sabah,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Suhaimi Salleh sebagai Pengerusi Warisan Negeri Johor.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong.

Mohd. Shafie berkata, Warisan bukan sahaja mahu bertanding PRN Johor dan menubuhkan kerajaan negeri, malah juga mahu menubuhkan kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Saya telah bekerjasama dengan semua pemimpin politik di negara ini, ketika bersama UMNO selama lebih 30 tahun, saya bekerja bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Najib Tun Razak dan lain-lain.

“Kemudian enam tahun ketika bersama Pakatan Harapan (PH), saya juga telah bekerjasama dengan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu, jadi saya tahu dan kenal mereka semua.

“Saya yakin Warisan adalah pilihan terbaik buat masyarakat negara ini dalam menubuhkan kerajaan yang akan membela mereka, kita mahu tubuhkan kerajaan,” katanya.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases