Oleh Nurman Nasyriq
JOHOR BAHRU – UMNO menjadi penyelamat dan bukan punca ketidakstabilan politik di negara ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, peranan parti itu dapat dilihat apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang, UMNO muncul dan cuba memperbetulkan.
Menurutnya, UMNO hadir dalam keadaan kritikal semasa negara menentang pandemik Covid-19 dan PH yang menjadi kerajaan sebelum itu gagal melakukannya.
“Sebenarnya, UMNO dilihat sebagai penstabil, ada Menteri Besar datang sini kata UMNO penyebab hilangnya kestabilan sesebuah kerajaan, saya nak maklumkan bila runtuh kerajaan PH dahulu, itu dibuat oleh mereka sendiri.
“Bila sebahagian mereka keluar, yang menjadi penstabil adalah UMNO dan tampil kedepan apabila dalam keadaan situasi Covid-19. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke hadapan.
“Menteri yang diberi tanggungjawab jaga kesihatan dan vaksinasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Khairy Jamaluddin, malahan Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut membantu mendapatkan sumbangan vaksinasi dari Arab Saudi, semua itu (usaha) menteri UMNO,” katanya yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas melakukan tinjauan ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Masai, di sini semalam.
Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, semua kementerian penting tersebut adalah daripada UMNO dan rakyat akan melihat serta menilai prestasi mereka.
“Perkara ini dilihat dan disedari rakyat walaupun bukan kerajaan UMNO, tetapi pemimpin UMNO adalah penstabil dalam kerajaan,” katanya.
Apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai kerajaan, Perdana Menteri berjaya mendapatkan pemimpin pembangkang menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memudahkan pentadbiran kerajaan dalam tempoh pandemik, katanya.
“Apabila Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri, beliau berjaya menghasilkan senario di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng semuanya akur dan akhirnya bajet berjalan dengan lancar.
“Kerana apa, kerana Perdana Menteri mempunyai keupayaan untuk bawa kestabilan, beliau Perdana Menteri daripada mana, daripada UMNO. Ini bermakna UMNO bawa kestabilan,” katanya.