KUALA LUMPUR : Tahap keyakinan orang ramai terhadap keamanan dan keharmonian negara semakin meningkat.
Rata-rata kita boleh lihat sejak tiada larangan pergerakkan, rakyat lebih ‘berani’ bersendirian ke sana ke sini walaupun di lokasi sunyi dan terpencil khususnya di Putrajaya.
Ia membuktikan tahap keberkesanan keselamatan dan sistem yang digunapakai seperti Pemantauan Putrajaya Command Centre (PCC), membuatkan rakyat lebih selesa dan selamat untuk melakukan aktiviti harian.
Bukan sahaja rakyat bawahan, malah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim juga dilihat tidak gentar bersendirian beriadah di sekitar taman di Putrajaya.
Perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sekitar Sisiran Tasik Presint 1, petang semalam.
Shahidan yang melangsaikan misi untuk berjalan 10,000 langkah sehari bagi mencapai kualiti hidup yang sihat sempat melambaikan tangan ke arah CCTV berkenaan.
Di sebalik kesibukan jadual kerja yang padat, beliau turut memastikan misi berjalan 10,000 langkah setiap hari berjaya dicapai.
Selain beriadah pada sebelah petang, Shahidan dalam masa yang sama turut memastikan kemudahan dan sistem pemantauan bersepadu yang disediakan di sekitar Putrajaya berada dalam keadaan baik.
Malah, beliau turut memantau terutama kawasan-kawasan riadah yang disediakan untuk orang awam diharap dapat menjadikan Putrajaya kawasan yang selamat untuk melakukan pelbagai aktiviti.
Terdahulu, PCC yang dilancarkan pada Oktober 2019 itu berperanan sebagai pusat pemantauan berpusat keseluruhan aktiviti perbandaran Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.
Ia meliputi pemantauan keselamatan, trafik, kualiti alam sekitar, infrastruktur dan bencana alam.
Sementara itu, penggunaan analisis video pintar (IVA) membantu petugas melaporkan insiden mencurigakan termasuk tingkah laku manusia yang bergerak seperti mahu melakukan jenayah.
Seterusnya katanya, mengesan penceroboh ke kawasan larangan atau sensitif; mengesan perhimpunan tempat awam; mengesan objek atau barang dialih dan ditinggalkan.