spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Sekolah tahfiz disaran tawar program TVET

- Advertisement -spot_img

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU 7 Feb – Sekolah-sekolah tahfiz di negeri ini disaran menawarkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melengkapkan pelajar dengan ilmu serta kemahiran tambahan.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, selain ilmu agama, program TVET bertujuan membolehkan para pelajar dapat menimba ilmu dan kemahiran tambahan yang diharap mampu membantu mereka mencari pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

“Saya secara peribadi mengharapkan agar semua institusi pendidikan Islam dapat melahirkan anak-anak pelajar yang bukan sahaja alim dalam bidang agama, malah juga mahir dalam bidang lain untuk memberi sumbangan fardu kifayah kepada masyarakat.

“Program TVET ini merupakan salah satu usaha kerajaan untuk membantu pelajar sekolah agama, tahfiz dan pondok di negeri ini,” katanya semasa melancarkan Johor Tahfiz Quality Assurance (JTQA), di sini, semalam.

Hasni berkata, kerajaan sentiasa komited dalam merencana pelan pendidikan bersepadu untuk para pelajar, sama ada dalam bidang akademik mahupun keagamaan terutamanya bagi pelajar-pelajar sekolah tahfiz.

“Pelbagai langkah telah dibuat untuk memastikan para pelajar mendapat pendidikan yang sempurna, terkini dan sentiasa ke hadapan sesuai dengan agama Islam yang bersifat anjal dan sejagat.

“Saya berasa bangga kerana antara usaha-usaha itu adalah memastikan semua sekolah tahfiz ini mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) supaya perkembangan sekolah-sekolah ini akan dapat diurus dengan baik, seterusnya membolehkan pelbagai bantuan dapat disalurkan bagi kepentingan semua pihak.

“Proses ini akan dapat dipermudahkan lagi dengan adanya garis panduan yang telah pun dibukukan dan diterbitkan oleh JAIJ menerusi JTQA ini,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan pengurusan tahfiz sebanyak RM1 juta.

Yang turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salehuddin Hassan; Mufti Negeri Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah JAIJ, Datuk Md. Rofiki A.Shamsuddin.
Habis.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases