Oleh Farhana Ab Rahman
KUALA LUMPUR 5 Feb 2022: Sempena Ulang Tahun ke-50 Bandar Raya Kuala Lumpur, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Pakej Kesejahteraan Keluarga Malaysia Kuala Lumpur (PKKMKL) hari ini.
Beliau berkata, dua aspek dititikberatkan dalam pakej berkenaan yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan memperbaiki penyampaian perkhidmatan yang pantas secara dalam talian.
Dalam pakej pertama beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan beberapa perkara iaitu; pertama, untuk menjamin kehidupan yang sihat, DBKL menyediakan laluan pejalan kaki, laluan basikal dan jaringan hijau dengan mengutamakan keselesaan dan keselamatan pengguna.
“Kedua, bagi menggerakkan aktiviti ekonomi, DBKL menaiktaraf gerai penjaja di pusat penjaja yang usang termasuk kelompok-kelompok gerai di tepi jalan yang berlesen.
“Ketiga DBKL kini dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya sifar miskin tegar,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Ulang Tahun ke-50 DBKL di Taman Botani, hari ini.
Keempat, Ismail Sabri berkata bagi membolehkan warga kota mendapat kehidupan yang lebih selesa, DBKL akan membina 5,000 ‘council home’ untuk disewa kepada warga kota dengan keluasan minimum 750 kaki persegi.
“DBKL juga akan membuat pembaikan lif yang membabitkan 306 buah lif di 31 lokasi Projek Perumahan Rakyat Perumahan Awam (PPR/PA) dan akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun, katanya.
Kelima, beliau berkata bagi menjamin keselamatan warga kota, tahap keselamatan di Kuala Lumpur dipertingkatkan dengan melakukan pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dikawal oleh Kuala Lumpur Command and Control Centre.
Menerusi pakej meningkatkan penyampaian perkhidmatan yang pantas secara dalam talian menerusi PKKMKL, Ismail Sabri berkata,ia membabitkan urusan kelulusan lesen premis perniagaan dalam tempoh 24 jam.
“Permohonan permit pembinaan bagi pembangunan berskala kecil dan keputusan permohonan boleh diperolehi dalam tempoh tiga hari.
“Sebagai insentif untuk menggalakkan warga kota melakukan urusan secara dalam talian, pembayaran yang melibatkan semua fi permohonan, akan diberikan rebat 10 peratus sepanjang tahun 2022,” katanya.