KUALA LUMPUR : Piala Menteri Wilayah Persekutuan berjaya dibawa pulang oleh Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) apabila menewaskan Kuala Lumpur City FC (KLFC) 2-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Khamis malam di sini.
Jaringan seawal minit kedua oleh pemain nombor 11, Matheus Alves Leandro menyaksikan Negeri Sembilan FC menguasai permainan pada separuh masa pertama.
Biarpun mencuba untuk mengejar mata yang dijaringkan oleh NSFC sebanyak 1-0 pada separuh masa pertama, namun momentum pasukan tuan rumah dilihat agak perlahan.
Enggan menyerah kalah dengan mudah, KLFC dilihat beberapa cubaan menjaringkan gol sekali gus berkali-kali ingin mematahkan benteng pertahanan NSFC.
Gol kedua diperolehi NSFC melalui sepakan penalti oleh pemain berjersi nombor 4, Herold Mark Goulon sekali gus meletakkan pasukan ini sebagai juara Piala Menteri Wilayah Persekutuan.
Lebih manis kemenangan NSFC apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim menyampaikan hadiah kejutan wang tunai bernilai RM30, 000.
Dalam pada itu, KL City FC turut menerima insentif istimewa bernilai RM1.5 juta sempena kemenangan pasukan itu kejayaan menjuarai Piala Malaysia tahun lalu.