Oleh Fhatihah Zakinan
KUALA LUMPUR : Lebih banyak penempatan bilik mahkamah mesra kanak-kanak perlu dibuka bagi melindungi golongan berkenaan ketika terbabit kes di mahkamah.
Selebriti dan personaliti TV, Daphne Iking, melalui hantaran yang dimuat naik di IGnya, pada Ahad menyuarakan saranan mengenai perkara itu selepas menyedari kepentingan dan kebajikan golongan kanak-kanak dalam memperjuangkan nasib mereka di mahkamah.
Daphne atau nama sebenarnya, Dahlia Daphne Eleanor Mozes Iking, 43, berkata, beliau merasakan sudah tiba masanya mahkamah kanak-kanak diperluas ke seluruh negara selain mahu kesedaran kesihatan mental masyarakat khususnya wanita yang juga menjalankan tanggungjawab sebagai ibu, terus dipertingkat.
Daphne menulis hantaran itu serta memuat naik rakaman semula video yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai menjadi saksi utama kepada kes pembunuhan adik kecil perempuan yang didakwa dilakukan oleh ibunya sendiri, memberi keterangannya secara jelas berdasarkan imej dilukisnya sendiri sebelum mendapati wanita berkenaan berada di bilik mahkamah sama.
“@daphneiking – Saya melihat ini (video) melalui suapan (home feed IG) saya dan berasa terdorong untuk menyiarkannya semula kerana saya baru sahaja menghantar Isidore (yang berumur 7 tahun tahun depan), ke katil.
Isidore, walaupun seorang abang – masih seperti anak kecil kepada kami tetapi telah membesar dengan baik selepas Ilon dilahirkan.
“Saya tidak dapat merasai kesakitan dan trauma yang terpaksa ditanggung oleh kanak-kanak lelaki ini apabila mengenang kembali apa yang dia saksikan, (untuk diceritakan semula) kepada orang yang tidak dikenali dalam persekitaran yang sangat asing (mahkamah)… dan kemudian mengenali ibunya, orang yang baru sahaja dia ceritakan perkara sebenar, berada beberapa meter dari tempat dia berada,” katanya dalam hantaran itu.
Daphne berkata, dia pernah berpeluang membincangkan undang-undang kanak-kanak bersama seorang pakar undang-undang kanak-kanak, Dr Farah Nini Dusuki dengan membincangkan hala tuju dalam memperjuangkan nasib golongan itu ketika mereka dibicara atau memberi keterangan di mahkamah.
“Saya (pernah ) berpeluang memahami (kes) undang-undang kanak-kanak di Malaysia bersama Dr @farahninidusuki, yang berjuang untuk memperluaskan lebih banyak bilik mahkamah & kemudahan mesra kanak-kanak bagi membolehkan golongan ini memberi keterangan atau dibicarakan sambil melindungi kanak-kanak dan/atau untuk melihat kepentingan terbaik kanak-kanak terbabit,” katanya.
Daphne mengingatkan semula, dalam negara wujud Mahkamah Khas Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak yang dilancarkan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman Putrajaya, pada Jun 2017.
“Mahkamah khas ini dilancarkan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih mesra kepada mangsa kanak-kanak dan menangani kes penderaan kanak-kanak dengan lebih berkesan. Tetapi kita memerlukan lebih banyak lagi” katanya.
Meskipun tidak pasti kesahihan penuh video terbabit , Daphne sudi berkongsi pengalamannya dalam menguruskan anak-anak sehingga mengalami tempoh kemurungan selepas bersalin sehingga hampir membinasakan diri dan keluarganya.
“Saya tidak pasti tentang cerita penuh tentang kes (video di hantaran) ini, tetapi (saya) ada terfikir untuk membunuh diri dan fikiran terganggu sehingga mahu mencederakan bayi selepas bersalin; jadi adalah keperluan untuk mengingatkan masyarakat tentang kesedaran kesihatan mental dan ini yang perlu kita terus tangani dalam dialog akan datang,” katanya.
Pada hantaran sama, pengacara TV itu bagaimanapun turut berdoa untuk keselamatan seisi keluarga yang terpaksa menyaksikan keganasan rumah tangga berlaku di rumah, namun percaya bantuan pasti akan tiba untuk mereka.
“Saya berdoa untuk keselamatan mereka dan bantuan itu akan ada untuk semua yang terlibat,” katanya mengakhiri tulisannya dengan seloroh akan membina 100 kotak cabaran, yang diminta oleh anak lelakinya, Isidore. InsyaAllah 💔.
Daphne bernikah dengan suaminya, Azmi pada Januari 2011, dan mempunyai empat cahaya mata, Isobel Daniella Iking, Iman Daniella Iking, Isidore Daniel Iking dan, Ilon Daniel Iking Azmi yang dilahirkan Mei 2020.
Untuk rekod, penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak itu selaras dengan pelaksanaan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak
Buat permulaan pada 2017, mahkamah khas itu mendengar kes-kes yang berlaku di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum diperluas secara berperingkat di semua 13 negeri di seluruh negara.
Kemudahan yang disediakan lebih menjurus untuk memenuhi keperluan saksi kanak-kanak selain kelengkapan sistem Court Recording and Transcription (CRT), bilik saksi dan menunggu mesra kanak-kanak yang dilengkapi dengan kemudahan video-link, serta kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).