spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Pemuda UMNO Parit Sulong desak Muhyiddin disiasat ikut Akta Rahsia Rasmi

- Advertisement -spot_img

Oleh Fhatihah Zakinan

SEGAMAT : Satu laporan polis dibuat terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan beliau didakwa membuat kenyataan dipercayai cubaan membocorkan maklumat sulit yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.

Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong membuat laporan polis, di Balai Polis Parit Sulong pada 19 Feb lalu, mendesak supaya siasatan dijalankan terhadap Muhyiddin berhubung kenyataannya mengenai situasi kewangan negara berkaitan akta berkenaan.

Ketua pergerakannya, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, maklumat kewangan negara adalah berkaitan maklumat sulit yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Katanya, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU kini bukan seorang daripada menteri kabinet atau Perdana Menteri Malaysia yang masih berkuatkuasa atau individu yang berhak dibekalkan dengan mana-mana maklumat sulit negara.

“Tindakan dan kata-kata Presiden BERSATU kelihatan menjurus kepada ketidakpatuhan kepada dokumen rasmi negara yang dipercayai ianya tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Justeru, Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong mendesak satu siasatan dimulakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk menyiasat kesahihan perkara tersebut, atau kemungkinan terdapat percubaan untuk melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi dan undang-undang yang lain, yang mana keadaan itu boleh mengundang mudarat kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Laporan polis dibuat susulan kenyataan Muhyiddin yang disiarkan di sebuah portal bertajuk, Malaysia hadapi masalah kewangan? – Muhyiddin ikrar akan dedahkan, pada 19 Feb 2022.

Mohd Fared berkata, laporan itu juga dibuat susulan dakwaan Muhyiddin bahawa beliau memperoleh maklumat kewangan negara daripada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

“Muhyiddin mendakwa negara menghadapi masalah kewangan yang lebih besar berbanding yang dimaklumkan oleh kerajaan Persekutuan dan butirannya akan didedahkan pada masa yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata, Muhyiddin turut mendakwa pentadbiran BN tidak akan dapat menjamin masa depan cemerlang ketika negara seperti Vietnam dan Indonesia sedang meninggalkan Malaysia dalam pembangunan ekonomi.

Sementara itu, Bekas Setiausaha Sulit Kanan Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, jawatan Muhyiddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) adalah bertaraf menteri dan beliau berhak untuk mendapatkan laporan daripada Menteri Kewangan berhubung situasi ekonomi semasa.

Katanya, Tengku Zafrul juga adalah Menteri Penyelaras MPN dan beliau bertanggungjawab untuk melaporkan secara terus kepada pengerusi majlis.

“Jadi tidak salah Pengerusi MPN minta laporan daripada Menteri Kewangan dan tidak salah Menteri Kewangan beri laporan kepada Pengerusi MPN.

“Malah, wajib Menteri Kewangan beri laporan bila diminta. Tak boleh bantah,” katanya menerusi Facebooknya.

Beliau mengulas laporan polis yang dibuat oleh Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases