KUALA LUMPUR : Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 4 Segambut menyerahkan surat tawaran penempatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada dua beranak mualaf di Dewan Masyarakat Taman Sri Sinar.
Ia adalah usaha bersama jemaah Surau Al Muttaqqiem Taman Sri Sinar dan inisiatif ini diterima Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bagi memastikan kehidupan anak dan bapa itu lebih baik.
Kisah dua beranak mualaf, Hussein Chuang Abdullah, 44 dan bapanya yang dihalau daripada rumah sewa mereka mendapat perhatian KWP untuk menyalurkan bantuan segera.
Dua beranak itu ditempatkan di dewan berkenaan sejak tiga bulan lalu bakal berpindah ke Flat Sri Selangor, Cheras hasil ihsan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan juga Ketua UMNO Bahagian Segambut, Datuk Mahadhir Sulaiman.
Shahidan dan Mahadir mengunjungi dua beranak mualaf itu pada 8 Disember tahun lalu.
Susulan daripada lawatan itu, Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa MPPWP Sub Zon 4 Segambut bertindak untuk membuat permohonan bagi membantu mendapatkan rumah PPR.
Dalam pada itu, Pengerusi MPPWP Sub Zon 4 Segambut, Abdullah Imbi berkata,
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjalankan siasatan dan mendapati dua beranak ini layak kerana tinggal sehelai sepinggang, terlalu daif dan tiada sokongan lain ditambah pula keadaan bapanya yang uzur.
“Bantuan ini disalurkam kerana mereka layak tanpa mengira bangsa dan agama.
“Ketika mereka datang mendapatkan tempat berteduh, mereka belum peluk Islam tetapi kami bantu atas dasar kemanusiaan.
“Dua tahun ini amat sukar untuk rakyat Malaysia dan kami amat memahami situasi ini, ada juga warga asing yang kami bantu sehingga mereka mampu pulang ke negara masing-masing,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyerahkan surat tawaran penempatan rumah PPR kepada dua beranak berkenaan dan bayaran permulaan telah diselesaikan oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Turut hadir, Timbalan Pengerusi MPPWP Sub Zon 4 Segambut, Haji Pajar Mohd Yahya dan Setiausaha MPPWP Sub Zon 4 Segambut, Haji Ramlee Daiyik.
MPPWP Sub Zon 4 Segambut menyalurkan bantuan seperti pek makanan dan Dapur Segambut usahasama UMNO Bahagian Segambut kepada keseluruhan penduduk Segambut Dalam ketika tempoh PKPD lalu.