Oleh Fhatihah Zakinan
TELUK INTAN : Bagitulah bukti sukarnya untuk dapat bantuan zakat dan JKM, terlalu banyak kerenah birokrasi sehingga menyukarkan bantuan diperolehi.
Media sosial menjadi ikhtiar terakhir untuk mengadu dan bersuara mengenai masalah yang benar-benar tidak mampu diselesaikan supaya ada pihak berkaitan prihatin dengan keadaan mereka.
Seperti yang umum sedia maklum, pertolongan hanya akan diperoleh jika sesuatu rakaman itu ditularkan.
Daripada melakukan perkara tidak elok, seorang wanita tiada pilihan lain selain membuat keputusan memberanikan diri mengadu di media sosial kerana buntu untuk mencari penyelesaian bagi meneruskan hidupnya sekeluarga termasuk ibu yang, didakwa terputus bantuan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebelum ia ditular.
Bercerita lanjut mengenai video yang tular sejak Selasa, Diwiyana Mohamed, 37, berkata, pelbagai usaha sudah dilakukannya termasuk memecahkan tabung anak-anak untuk membeli keperluan ibunya yang terlantar.
Ibu kepada enam anak itu berkata tindakan itu diambil kerana dia buntu permohonan bantuan untuk ibunya, Selamah Hamid, 73, sejak setahun lalu, masih belum diluluskan.
Justeru, katanya, dia terpaksa membuat video sehingga tular namun bukan bertujuan untuk menimbulkan kekecohan malah tidak berniat menyentuh sensitiviti agama.
“Saya sudah usaha macam-macam, sampai sanggup pecahkan tabung untuk beli pampers mak, sebab kami sudah tiada duit.
“Berniaga 10 biji burger pun susah nak jual, kami cuba minta (daripada) badan lain, tapi mungkin bukan rezeki kami lagi,” katanya yang tinggal di Sungai Manik, dekat sini.
Diwiyana menjelaskan, kesulitan memperoleh bantuan daripada pihak berwajib mula dirasakan selepas dia sekeluarga berpindah dari Cheras, Kuala Lumpur ke kampung halaman di sini.
Katanya, susulan perpindahan itu, bantuan RM350 dari JKM Wilayah Persekutuan, terputus dan dia terpaksa membuat permohonan baharu dari JKM Perak, pada Februari 2021.
Bagaimanapun, selepas menunggu setahun, masih tiada jawapan diterima sehingga tular video kekesalan Diwiyana yang mengundang pelbagai kritikan daripada netizen.
“Permohonan tidak dapat diproses melalui sistem e-bantuan JKM kerana namanya berada di dalam (senarai) sebagai pelanggan JKM Wilayah Persekutuan, belum lagi dikeluarkan.
“Selepas ini, rasanya telah dikeluarkan dan Pengarah JKM sendiri telah menguruskannya,” katanya dalam kunjungan ke kediaman Diwiyana sekeluarga.
Sehubungan itu, Wan Norashikin mencadangkan agar pihak JKM meneliti semula sistem e-bantuan agar masalah sama tidak berulang.
Susulan pertemuan itu, JKM telah meluluskan bantuan kepada ibu Diwiyana sebanyak RM500 sebulan mulai bulan depan.
Pihak JKM juga akan memberi bantuan kiosk mudah alih bagi memudahkan wanita itu dan suaminya menjual burger.
Pegawai Psikologi JKM akan turut membantu memberi kaunseling bagi menangani emosi keluarga berkenaan.
Terdahulu tular di media sosial Diwiyana meluahkan rasa kecewa sehingga mendapat lebih 600,000 tontonan meskipun mengundang pelbagai kritikan netizen.