JOHOR BHARU : Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memaklumkan belum memutuskan senarai calon yang bakal bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung pada 12 Mac depan.
Ka Siong menjelaskan, wajah baru dan lama bakal digabungkan bagi menggalas tanggungjawab untuk bertanding bagi menstabilkan kerajaan.
Tambah beliau, Barisan Nasional sudah memberikan rekod baik dan berkhidmat kepada rakyat serta memegang moto mementingkan perpaduan.
“Kami dalam Barisan Nasional sentiasa bermusyawarah dan segala keputusan dicapai secara konsensus parti-parti komponen. Saya rasa ini merupakan satu peluang untuk memberi mandat terbesar bagi menstabilkan kerajaan.
“Ini merupakan satu penentu kejayaan di Johor yang mana kita memerlukan kestabilan politik. Kalau kita lihat Barisan Nasional juga sudah memberikan rekod baik jadi biar mereka terus memakmurkan Johor.
“Sebab tu dalam kita berdepan pandemik, kita perlu kestabilan politik, perlukan kerajaan yang bersatu padu untuk kita capai kemakmuran dan kita bangunkan ekonomi demi kemakmuran rakyat,” katanya kepada WacanaKini.com
PRN Johor bakal diadakan susulan pembubaran DUN itu pada 22 Januari lalu lepas.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.
Seramai 49,290 petugas SPR akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN membabitkan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Secara keseluruhannya jumlah pusat mengundi sebanyak 1,084 buah dengan 4,720 saluran.