spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Lalitha beri maklumat tidak benar, tidak beretika – Azam Baki

- Advertisement -spot_img

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki membayangkan Lalitha Kunaratnam memberi maklumat tidak benar mengenai hubungan kerjaya yang baik dengannya dan kakitangan SPRM.

Beliau melalui jawapan kepada pernyataan pembelaan bekas penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) itu menafikan dakwaan itu dan menegaskan jika ia benar, sepatutnya wanita itu lebih mudah mendapatkan pengesahan daripadanya sebelum mengarang serta menerbitkan artikel dan ciapan fitnah berkenaan.

“Sebaliknya, defendan mengarang, menerbitkan dan menerbitkan semula artikel serta ciapan itu tanpa mendapatkan pengesahan dan maklum balas daripada saya terlebih dulu.

“Pernyataan defendan di sini jelas bertujuan mengelirukan mahkamah dengan mendakwa kononnya dia (Lalitha) mempunyai hubungan kerja yang baik dengan saya dan kakitangan saya sedangkan saya dan SPRM tidak pernah mempunyai sebarang hubungan kerja secara peribadi dengannya.

“Defendan juga tidak memberikan sebarang butiran berkenaan nombor pemberi maklumat yang sepatutnya beliau miliki selaku seorang pemberi maklumat berdaftar dengan pihak berkuasa,” katanya dalam dokumen jawapan kepada pernyataan pembelaan yang difailkan semalam.

Melalui saman difailkan pada 12 Januari lalu, pernyataan tuntutan Azam menyelar Lalitha sebagai wartawan penyiasat yang tidak mematuhi etika kewartawanan.

“Menerusi pernyataannya, kredibiliti Lalitha dilihat tidak boleh dipercayai dan bukan seorang wartawan penyiasat seperti diakui olehnya.

Tambah Azam, menerusi dua artikel memfitnahnya, seolah-olah menghina Yang di-Pertuan Agong yang melantiknya mengikut undang-undang.

Azam berkata, kenyataan fitnah dalam dua artikel itu seolah-olah bermaksud beliau menerima kenaikan pangkat tanpa melalui sebarang proses wajar, sedangkan sudah berkhidmat dengan SPRM sejak 1984 dan hanya dilantik ke pangkat tertinggi selepas hampir 30 tahun berkhidmat dengan SPRM.

Beliau berkata, kenyataan itu memfitnah SPRM secara keseluruhannya seolah-olah agensi itu tidak mempunyai sebarang proses wajar dalam isu kenaikan pangkat.

Azam berkata, artikel diterbitkan pada Oktober dan Disember tahun lalu di portal Independent News Service (INS) juga secara tidak langsung menggambarkan beliau dan adiknya menyokong politik berhaluan kiri serta aktiviti menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, kenyataan yang mengaitkannya dengan pemilikan saham secara salah, turut memfitnah dan mencemarkan serta berniat menjatuhkan agensi penguatkuasaan berkenaan.

Dalam tuntutan samannya, Azam memohon injuksi bagi menghalang Lalitha atau ejennya daripada membuat, menerbitkan atau menyebabkan kenyataan fitnah itu diterbitkan semula.

Beliau turut memohon defendan memadamkan artikel dan ciapan serta menuntut ganti rugi am sebanyak RM10 juta, ganti rugi teruk, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam Mohamed Ibrahim Mohamad yang mewakili Lalitha memberitahu media bahawa pengurusan kes ditetapkan pada 8 Mac ini.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases