spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

KWP komited pastikan setiap penduduk miliki kediaman selesa

- Advertisement -spot_img

KUALA LUMPUR : Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata antara program yang dibangunkan untuk warga Wilayah Persekutuan adalah Residensi Prihatin Keluarga Malaysia berharga di bawah RM200,000 disasarkan untuk golongan berpendapatan rendah (B40).

Katanya, Residensi Wilayah Keluarga Malaysia yang berharga bawah RM300,000 pula disasarkan untuk M40.

Beliau berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan komited untuk memastikan  agar setiap warga  penduduk di wilayahnya mempunyai rumah yang selesa didiami.

“Sebanyak 22,296 unit sudah siap dibina daripada 62,836 unit yang diluluskan.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur  (DBKL) kini melaksanakan projek pertama Council Home iaitu rumah sewa dengan kadar berpatutan di kawasan bandar iaitu di Kampung Sungai Udang, Segambut dengan jumlah 1,251 unit berkeluasan 807 kaki persegi, yang dijangka siap pada April depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ulang Tahun ke-50 DBKL yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Taman Botani, di sini pada Ahad.

Shahidan berkata, Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota akan membantu belia hilang pekerjaan dan kekurangan punca pendapatan untuk menjadi usahawan bagi memperkasakan golongan muda.

“Setakat 31 Disember lalu, seramai 434 belia  membuka kios perniagaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Secara keseluruhan, KWP mensasarkan 1,000 buah kios dibuka menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Katanya, DBKL juga memfokuskan perancangan masa hadapan dan jangka panjang menerusi Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.

“Perancangan ini mengambil kira cabaran yang akan dihadapi oleh Kuala Lumpur, dari pelbagai perspektif seperti perubahan demografi dan iklim, perkembangan teknologi serta cabaran-cabaran lain.

“Visi Kuala Lumpur 2040, iaitu Kuala Lumpur Bandar Untuk Semua adalah selari dengan fokus perancangan yang memberi penekanan terhadap perkongsian, inklusif dan kesamarataan.

“Antara aspek yang turut diambil kira, termasuklah peningkatan kualiti alam semula jadi serta pertumbuhan ekonomi bagi mewujudkan kemakmuran bersama dalam mencapai kesejahteraan komuniti,” katanya.

Shahidan berkata, Kuala Lumpur perlu terus dimajukan dan berkembang dengan pesat secara mampan, lestari, berdaya huni, selamat dan sihat.

“Semangat ‘Our City, Our Home’ perlu ditanam dalam diri seluruh warga kota bagi memastikan adanya rasa tanggungjawab dan sayang kepada Kuala Lumpur. Perasaan kekitaan iaitu ‘we feeling’ perlu diterapkan,” katanya.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases