Iskandar Puteri: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata keputusan sama ada mahu membuka pintu sempadan atau masih melaksanakan sekatan tertentu bergantung kepada penilaian dibuat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan situasi semasa.
Ismail Sabri berkata, KKM diberi tempoh tiga minggu untuk mengemukakan nasihat, pandangan serta input mengenai cadangan pembukaan sempadan negara.
Katanya, kerajaan perlu membuat pertimbangan seimbang sebelum melaksanakan pembukaan sempadan kerana ada rakyat yang masih belum dapat menerima hakikat bahawa mereka terpaksa hidup dengan Covid-19.
“Pelbagai pandangan diberikan (mengenai buka sempadan negara). Ada yang kata kita boleh buka kerana macam saya kata sebelum ini kita perlu mendidik rakyat untuk hidup bersama Covid-19.
“Cuma tak semua orang berani menerima hakikat dan minta kerajaan kawal pergerakan dan sebagainya, sebab itu perlu ada pertimbangan seimbang.
“Keseimbangan itu yang sedang dicari KKM dan kita beri tempoh dua ke tiga minggu untuk bentang dalam Kabinet supaya kita dapat buat keputusan sama ada buka terus sempadan atau masih perlu sekatan-sekatan kepada negara tertentu.
“Saya juga akan memanggil Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membincangkan isu sempadan negara kerana ia dasar besar yang perlu dibincangkan secara lebih teliti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad.