SHAH ALAM : Penjaja dibawah seliaan MPSepang mempersoalkan kenapa Ahli Majlis boleh membuka pejabat di ruang niaga penjaja di wilayah ini.
Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak, Jahari Ibrahim berkata, ruang yang diambil adalah dua tapak daripada 10 tapak yang disediakan.
“Tujuan asal gerai majlis, gerai Projek Luar Bandar dan IKS diwujudkan atau didirikan adalah untuk membantu golongan sasar.
“Seperti yang pertama golongan berpendapatan rendah B40 untuk menaik taraf ekonomi.
“Golongan miskin, iaitu golongan asnaf dan ketiga golongan ibu tunggal yang miskin. Itu adalah kriteria yang layak duduki gerai-gerai,” katanya kepada Wacanakini.com.
Tambah Jahari, dengan penempatan ahli majlis berkenaan ia menyebabkan ruang niaga untuk peniaga semakin terhad.
“Saya tidak faham kenapa Ahli Majlis hendak sangat kawasan yang disediakan untuk penjaja?
Jahari mewakili 400 penjaja kecil daerah Sepang baru-baru ini menemui Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi meminta dipanjangkan had tempoh sewaan perniagaan.
Ia berikutan keadaan peniaga-peniaga yang terjejas teruk dan terkesan pendapatan mereka akibat dua tahun berhadapan ancaman pandemik Covid-19.
Terdahulu, ratusan peniaga di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) di Cyberjaya, mendakwa teraniaya apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengehadkan tempoh sewaan kepada 10 tahun tanpa pampasan serta tapak perniagaan baru.
Untuk rekod, tempoh mengehadkan sewaan itu adalah dasar baharu MPSepang bagi memberi peluang kepada peniaga lain berniaga di premis seliaan mereka itu.
Wacanakini.com sedang mendapatkan kenyataan daripada pihak MP Sepang untuk menjelaskan isu penjaja terbabit.