KUALA LUMPUR, 6 Feb -Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi catatan Facebook miliknya merakam ucapan takziah kepada keluarga kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang meninggal dunia pada Sabtu lalu.
Kisah Rayan Oram itu tular selepas terperangkap selama lima hari dalam sebuah perigi kering di sebuah kampung di utara Maghribi.
“Semoga roh Allahyarham Rayan tenang di sana. Anak syurga milik Allah SWT,” katanya dalam catatan tersebut pada Ahad.
Rayan terjatuh dan terperangkap dalam perigi sempit sedalam 32 meter pada Selasa di kampungnya di Ighran, yang terletak di kawasan bukit dekat Chefchaouen dan usaha menyelamatkannya dijalankan sejak itu.
Lewat malam Sabtu, Istana Diraja Maghribi mengesahkan Rayan telah menghembuskan nafas terakhir sejurus selepas dia berjaya dikeluarkan dan dibawa ke hospital berdekatan.