spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

Jadikan Najib, Zahid ‘poster boy’ bukan keutamaan BN

- Advertisement -spot_img

Oleh Nurman Nasyriq

PASIR GUDANG, 6 Feb 2022 – UMNO menganggap cabaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) supaya menjadikan Datuk Seri Najib Tun Razak atau Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘poster boy’ bagi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah tidak penting.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, itu bukan perkara pokok, sebaliknya tujuan BN bertanding adalah untuk mewujudkan kerajaan yang stabil.

Jelas bekas Menteri Besar Johor itu, ‘poster boy’ tidak membawa makna sekiranya tidak boleh membawa kemajuan untuk negeri ini.

Menurutnya, UMNO lebih memberi tumpuan terhadap manifesto BN dalam menawan hati pengundi yang akan dilancarkan selepas mengetahui tarih-tarikh penting Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan bermesyuarat 9 Februari ini.

“Apa yang penting ialah apa manifesto yang kita nak buat dan pada akhirnya mampu atau tidak kita ini membawa kebaikan dan kemajuan kepada negeri Johor.

“Sekarang ini bukan soal siapa untuk jadikan ‘poster boy’, bukan itu. Soalnya ialah apa yang boleh menjadikan Johor ini terus maju, terus membangun dalam negara.

“Soal ‘poster boy’ ini, kalau nak ada ‘poster boy’ tetapi tidak boleh majukan Johor tidak jadi apa,” katanya selepas menghadiri pembubaran BERSATU Cawangan Molek Harmoni di Taman Desa Harmoni, di sini malam tadi.

Mohamed Khaled mengulas kenyataan Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang mencabar UMNO menjadikan kedua-dua pemimpin UMNO itu sebagai ‘poster boy’ pada PRN Johor.

Beliau berkata, cabaran Wan Saiful itu tidak mendatangkan manfaat dan matlamat BN bertanding PRN tersebut adalah jauh lebih besar daripada isu tersebut.

Mengenai manifesto, beliau berkata, BN akan membentangkan manifesto yang pragmatik dan realistik untuk PRN Johor dalam usaha menawan hati pengundi dan tidak akan menjanjikan bulan dan bintang hanya sekadar untuk memenangi hati pengundi.

Menurutnya , masyarakat khususnya pengundi sudah bijak untuk menilai apakah janji-janji yang ditawarkan sesebuah parti politik itu benar-benar dapat ditunaikan ataupun tidak.

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases