KUALA LUMPUR, 8 Feb 2022- Seorang ‘mat despatch’ mengadu terpaksa meminjam ceti haram ‘ah long’ demi membayar tunggakan sewa rumahnya walaupun memiliki caruman RM200,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengambil contoh keadaan rakyat berkenaan yang gaji bulanannya RM1,800 tetapi kerana simpanan KWSP tidak boleh keluarkan, dia tidak boleh bayar sewa rumah tertunggak.
“Jadi kerajaan perlu lihat isu ini bukan sentimen tetapi realiti sebenar kehidupan rakyat bawah hari ini, mereka memerlukan pengeluaran RM10,000 one off KWSP untuk menyelesaikan perkara-perkara utama kelangsungan hidup, hendak mulakan hidup bukan cara dengan meminjam duit sana sini, ini kaedah salah.
“Sedangkan realitinya, mereka masih ada simpanan, tetapi terpaksa mengemis dengan kerajaan mohon dikeluarkan simpanan mereka.
“Awak bayangkan ini contoh keadaan rakyat yang berhutang dengan ah long dan berharap ada penyelesaian KWSP dapat sedikit membantu walaupun realiti sebenar mereka sudah terhimpit akibat apa sahaja pendapatan mereka dapat kena bayar ah long yang kenakan interest.
“Saya sendiri bawa isu-isu rakyat ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebanyak dua kali tetapi mereka tolak. Alasan Ismail sama seperti alasan diberi Tengku Zafrul,” katanya kepada Wacanakini.com
Beliau berkata demikian selepas menerima Memorandum daripada Pertubuhan Penyatuan Pemain Industri Pengangkutan Darat Malaysia (PPDM) dan meluangkan masa hampir dua jam mendengar luahan dan cadangan PPDM berhubung isu 1.2 juta pemain industri pemandu dan pengusaha pengangkutan darat di pejabatnya, PWTC di sini hari ini.
Dr Asyraf Wajdi sekali lagi mengingatkan di negara ini ada 6.8 juta pencarum yang ada simpanan KWSP yang lebih RM10,000.
“Kita bukan bercakap isu bantuan banjir yang mangsanya 30,000 sahaja, kita bercakap mengenai nasib 6.8 juta rakyat yang ada simpanan tetapi tidak boleh keluarkan duit ketika mereka berhadapan kesan mudarat besar.
“Rata-rata mereka hilang punca pendapatan, hilang kerja, kesan mudarat besar, setahun tak dapat kerja, setahun komitmen tertunggak, nak mula hidup baru, ada alternatif lain ke untuk bantu?
Terdahulu, Dr Asyraf Wajdi pernah berkata, Seksyen 54 Akta KWSP di bawah sub-seksyen 54 (k), 54(l) dan 54(m) jelas membenarkan pengeluaran untuk penuhi keperluan serta kelangsungan hidup pencarum.
Apakah KWSP satu-satunya cara untuk menjamin keselamatan hidup hari tua? Apakah jaminan untuk hidup hari tua jika rakyat hari ini amat terdesak untuk penuhi keperluan hidup diri dan keluarga?
Rakyat hakikatnya rata-rata menuntut simpanan mereka sendiri hari ini bukan saja-saja, ada yang mula dihalau dari rumah kerana tak dapat bayar sewa, ditarik kereta dan motor kerana sudah tidak mampu bayar ansuran dan berhutang keliling pinggang untuk penuhi keperluan hidup.
Ramai yang tertekan memikirkan bagaimana nak pastikan makanan di atas meja terus terhidang buat keluarga dan ramai juga hilang punca pendapatan, hilang kerja akibat pandemik.