KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran berkenaan kewujudan taktik baharu penipuan siber yang membolehkan penjenayah menggodam akuan bank mangsa.
Melalui sidang media yang dibuat hari ini, YDH CP Dato’ Mohd Kamarudin bin Md Din telah memberitahu sudah 5 laporan polis telah diterima, 3 di negeri Johor, 1 di Pulau Pinang dan 1 di Sabah melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM58,844.00.
Menurut beliau, siasatan yang dijalankan mendapati penjenayah akan menggunakan laman sosial untuk mengiklankan penjualan barangan atau perkhidmatan saluran televisyen berbayar.
Tawaran iklan ini akan sentiasa diubahsuai oleh penjenayah bagi menarik lebih banyak mangsa.
“Mangsa yang berminat seterusnya akan diminta untuk memuat turun fail APK (Android Package Kit) yang dihantar menggunakan aplikasi whatapps.
“Mangsa dikehendaki untuk memasang aplikasi tersebut di dalam peranti telefon pintar dan membuka akaun bagi membolehkan aplikasi tersebut digunakan.
“Butiran perlu dimasukkan termasuklah nombor kad pengenalan, butiran akaun bank dan butiran kad kredit. Aplikasi tersebut juga dikesan akan menggantikan sistem SMS di telefon pintar tersebut
“Tanpa disedari, dengan pemasangan aplikasi yang meragukan ini, mangsa telah mendedahkan maklumat perbankan mereka kepada penjenayah yang seterusnya digunakan untuk menggodam dan memindahkan wang milik mangsa,” katanya dalam sidang media hari ini.
Sehingga kini siasatan terhadap kes ini masih dijalankan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat turun aplikasi yang meragukan dan tidak berdaftar.
“Orang ramai adalah diingatkan untuk tidak memuat turun aplikasi daripada sumber yang meragukan.
“Keselamatan sistem SMS pada telefon pintar hendaklah sentiasa dipelihara kerana ianya akan menerima SMS OTP (One Time Password) atau TAC (Transaction Authorization Code) daripada pelbagai aplikasi yang dipasang di telefon pintar anda.”ujarnya.