Oleh Fhatihah Zakinan
TANGKAK : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpendirian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tetap diteruskan meskipun terdapat gesaan ia ditangguhkan berikutan kesan gelombang COVID-19 varian Omicron yang dilihat membimbangkan.
Ismail Sabri berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sudah pun dibubarkan malah pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut mengumumkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi bagi PRN berkenaan, justeru mustahil bagi ia ditangguhkan.
Namun demikian katanya, penangguhan PRN Johor hanya boleh dilaksanakan jika kerajaan mengumumkan darurat dan sudah tentu pihaknya tidak akan berbuat demikian.
“Ia tidak boleh (tangguh PRN Johor). Hanya ada satu cara yang boleh tangguhkan PRN iaitu dengan mengadakan darurat, itu sahaja kaedahnya.
“Apabila DUN sudah dibubarkan, butiran pilihan raya sudah diumumkan termasuk tarikh dan sebagainya, ia memang tidak boleh ditangguhkan. Kalau nak ditangguhkan hanya dengan mengumumkan darurat di seluruh Johor.
“Kalau kita buat darurat, tak akan Johor sahaja darurat, negeri lain tidak (darurat) kerana peningkatan kes berlaku seluruh negara. Saya sudah umumkan tiada lagi sekatan termasuk darurat akan dilakukan selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Majlis Presiden PH dilaporkan berkata, pihak mereka memandang serius gelombang COVID-19 dengan varian Omicron yang sudah mencecah 17,000 kes pada Rabu.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PRN Johor tidak akan ditangguhkan walaupun terdapat gesaan kerana berpandukan faktor di PRN Melaka, kes jangkitan COVID-19 masih dicatatkan namun terkawal.
“Tidak ada sebab kita nak isytiharkan darurat di Johor semata-mata bagi menangguhkan PRN. Saya dan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menyatakan kita terpaksa hidup dalam COVID-19 sehingga ia dianggap sebagai endemik.
“Kita perlu meneruskan hidup di dalam COVID-19 namun perlu kawal dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Ahli Parlimen Bera itu turut memberi jaminan kepada rakyat untuk tidak mengadakan lagi sekatan pergerakan rentas negeri dan daerah.
“Kita sudah buka (sektor) ekonomi, tidak mungkin akan tutup semula ekonomi apatah lagi kita tahu betapa sukar kehidupan rakyat apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
“Kalau kita tutup semula habis ekonomi dan kehidupan rakyat. Begitu juga pergerakan rentas daerah dan negeri. Cuma sempadan negara sahaja kita belum buka. Dalam negara kita dah buka termasuk untuk nak balik kampung masa raya esok pun kita dah umum, tak akan tiba-tiba nak tutup semula dan tak benarkan,” katanya.