Oleh Nurman Nasyriq
PASIR GUDANG – Sudah tidak lagi mempercayai perjuangan PKR selain Pakatan Harapan (PH) hanya pandai berjanji menjadi punca lebih 100 ahli dan penyokong parti itu kembali kepada Barisan Nasional (BN).
Pengasas PKR di Taman Cendana, Zambrin Sonan penubuhan parti di kawasan itu dan perjuangannya ketika itu disebabkan terpedaya dengan fitnah dan janji-janji manis PKR dan PH.
“Mereka telah membuat janji, jika menang akan menurunkan harga minyak, hapuskan tol, hapuskan hutang PTPTN dan banyak lagi janji yang ditabur.
“Ia membuatkan bukan sahaja saya, malah rakyat keseluruhan terpedaya sehingga tumbangnya kerajaan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 walaupun selama ini kerajaan BN banyak membantu dan menjaga kebajikan rakyat,” katanya, di sini hari ini.
Terdahulu, Bendahari UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Mohd. Amin Ahmad menerima kepulangan kumpulan tersebut yang nekad akan mengundi calon BN Permas, Baharudin Taib pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.
Zambrin berkata, sejak selepas PRU-13, dia menubuhkan ranting PKR di Taman Cendana yang bermula daripada satu ranting sehingga tiga lagi ranting.
“Tetapi apabila PH menang dan menjadi kerajaan segala janji tinggal janji, kebajikan rakyat diabai, agama Islam dan hak kepentingan orang Melayu diganggu gugat.
“Sukar untuk kami mengadu masalah kepada ADUN dan Ahli Parlimen daripada PH. Jangan kata mengadu nasib, nak berjumpa pun payah,” katanya.
Zambrin berkata, pada masa sama beliau melihat BN walaupun tidak mempunyai kuasa tetapi tetap terus membela dan menjaga kebajikan rakyat.
Sejak itu timbul kesedaran dalam kalangan mereka bahawa perjuangan bersama PH adalah sia-sia kerana nasib dan kebajikan rakyat tidak terbela.
“Maka dalam PRN Johor kali ini saya terpanggil untuk mengajak rakan-rakan yang pernah berjuang bersama-sama saya dalam PKR dan PH dahulu untuk kembali menyokong calon BN dan UMNO di DUN Permas,” katanya.