spot_img
spot_img
spot_img
spot_img

 Gagal seludup 1.2 tan daun ketum, individu berjaya loloskan diri

- Advertisement -spot_img


KUALA LUMPUR : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Kedah menemui 1.2 tan daun ketum yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran oleh sebuah bot nelayan tempatan kelas A pagi di muara Kuala Kedah.

Bot yang kelihatan mencurigakan itu memecut laju oleh seorang individu selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum bertindak terjun ke dalam paya bakau dan berjaya meloloskan diri dalam kejadian 6 pagi semalam.

Foto kredit Facebook Maritim Malaysia

Pengarah Zon Maritim Malaysia Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya berjaya mengesan kedudukan bot itu pada 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Kedah.

“Sejurus menerima maklumat, bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan serbuan namun sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan memecut laju ke arah daratan berhampiran.

“Malah dia juga bertindak melarikan diri dengan terjun ke paya bakau lalu meloloskan diri. Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit menemukan 120 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan sekitar 1.2 tan bernilai sekitar RM216,000,” katanya.

Foto kredit Facebook Maritim Malaysia

Menerusi satu kenyataan, Noor Azreyanti berkata, semua daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut.

Ini berikutan, beliau berkata, permintaan tinggi di sana disebabkan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand mencecah lebih RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM30 saja.

“Semua daun ketum termasuk bot nelayan tempatan kelas A termasuk enjin yang dianggarkan bernilai RM276,000 dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Foto kredit Facebook Maritim Malaysia

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan berkenaan.

Noor Azreyanti berkata, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara semenanjung Malaysia.

“Pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

sumber Berita Harian

- Advertisement -spot_img

Covid

Malaysia covid cases