AMPANG JAYA: Gara-gara permohonan kerja ditolak, seorang pengusaha bengkel kereta telah diserang oleh warga Rohingya di Taman Perindustrian, Pandan Mewah jam 2.30 petang semalam
Warga asing itu dikatakan bertindak luar kawalan memukul mangsa menggunakan sebatang besi di bahagian kepala dan tangan di sebuah bengkel miliknya.
Selain itu, suspek dilaporkan memecahkan tiga cermin kereta milik pelanggan di bengkel yang sama.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, hasil siasatan mendapati suspek telah beberapa kali datang ke bengkel untuk bekerja tetapi tidak diambil oleh mangsa.
Dalam pada itu, anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) telah berjaya menangkap suspek serta merampas besi yang digunakan dalam kejadian.
“Suspek berumur 31 tahun, dipercayai memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian(UNHCR).
Permohonan reman telah dibenarkan selama empat hari bermula 19 Februari dan siasatan masih diteruskan,’ katanya.
Difahamkan, kes masih lagi dalam siasatan dan disiasat dibawah seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan.