KUALA LUMPUR : Pengacara dan pelakon, Elly Mazlein menjelaskan masih berpegang kepada prinsip untuk memberikan privasi kepada anaknya dan mengakui kurang selesa menayangkan wajah dua buah hatinya di media sosial.
Bagi Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri di dalam membesarkan anak mereka.
“Buat masa ini saya masih berpegang kepada prinsip dan tidak mahu menayangkan wajah anak di media sosial. Biarlah, saya tetap dengan keputusan untuk berbuat begitu.
“Bagi saya, setiap ibu bapa ada hak mereka di dalam membesarkan anak dan ini adalah cara saya,” katanya.
Sejak daripada anak sulungnya, Putri Sara Sefhia, 6, lagi, Elly yang cukup dikenali dengan panggilan Kak Lina Pom Pom itu jarang berkongsikan wajah anak kesayangannya kepada umum.
Kini Elly masih melakukan perkara sama apabila dilihat tidak terlalu mendedahkan wajah putera tersayang, Haider Mateen yang lahir pada Oktober tahun lalu.
Elly mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Azlan Che Nuh, 32, pada 18 Januari 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Elly pernah berkahwin dengan pengarah drama Azmi Hatta pada November 2014, namun rumah tangga mereka berakhir dengan perceraian pada Oktober 2015.