KUALA LUMPUR : Hidup ini bukanlah mudah, ada ujian dan cabaran yang perlu diredah samada manis atau pahit begitulah resamnya.
Pandemik Covid-19 yang menyerang bak ‘tsunami’ banyak mengubah kehidupan manusia sejagat, sementelah kita tidak pernah bersedia akan kesannya.
Ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) pertama, ramai yang kehilangan punca pendapatan, hilang kerja, hilang anak isteri, sektor pekerjaan satu persatu menutup operasi.
Ramai yang terpaksa berhutang dengan ceti haram Ah Long.
Statistik perceraian meningkat, statistik kesihatan mental seperti depresi dan bunuh diri juga meningkat ketika belum sampai setahun manusia diuji dengan Covid-19.
Begitulah jua yang menimpa seorang mualaf, Hussein Chuang Abdullah, 44 yang terpaksa menutup perniagaan ‘hardware’ yang dijalankan lapan tahun sebelum ini.
Malah lebih parah, Hussein dihalau oleh tuan rumah selepas ada lapan bulan tunggakan sewa.
Hussein bersama bapanya, Chuang Khe Chong, 81, merintih pertolongan orang ke sana ke mari.
Tiada siapa bantu walaupun sebangsa dengannya, yang akhirnya membawanya ke Surau Al Muttaqqiem dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 4 Segambut di mana mereka mula dibantu.
MPPWP Sub Zon 4 Segambut membenarkan anak beranak itu menetap di Dewan Masyarakat Taman Sri Sinar sejak lebih empat bulan lalu.
Dewan itu terletak kira-kira 200 meter daripada Baitulmal Wilayah Persekutuan

Sebagaimana nama dewan ini, ibarat sinar baharu dalam hidup Hussein dan bapanya untuk meneruskan hidup yang sementara di bumi Tuhan ini.
Hussein menceritakan kembali detik mereka berdua di halau daripada rumah sewa dalam keadaan amat menyedihkan.
“Ketika itu saya tidak tahu ke mana lagi hendak di tuju, keluarga dan kawan-kawan semua ada masalah sendiri tidak mahu membantu kami.
“Komuniti Cina juga tidak membantu kami, tiada tempat terima kami.
“Ini detik paling menyedihkan dalam hidup, pernah tidur di belakang dewan pada hari pertama dihalau rumah.
“Sehinggalah kami ditegur oleh Pengerusi Surau Al Muttaqqiem merangkap Timbalan Pengerusi MPPWP Sub Zon 4 Segambut, Haji Pajar Mohd Yahya yang berusaha mencari jalan untuk mendapatkan penempatan bagi kami,” katanya.
Hussein terpaksa menjaga bapanya kerana faktor kesihatan bapanya yang ada penyakit darah tinggi, pernah terjatuh dan baru sahaja menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku dari kepalanya.
“Bapa tidak boleh bergerak, berak dan kencingnya perlu diurus, saya sukar untuk mendapatkan kerja sesuai kerana tiada siapa mampu menguruskannya,” katanya.
Bagaimanapun, dia bersyukur ada hikmah kerana Covid-19 juga punca dia dan bapanya mengenal Islam dan memilih ia sebagai jalan hidup mereka.
Ikuti kisah Hussein dan bapanya dalam siri kedua.