KUALA LUMPUR – Brunei secara dasar bersetuju mengiktiraf penggunaan MySejahtera dan BruHealth bagi memudahkan integrasi sistem antara negara itu dan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata persetujuan itu dicapai hasil perbincangan dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di sini, hari ini.
Katanya, kerjasama itu penting bagi melancarkan pergerakan rentas sempadan rakyat kedua-dua negara, katanya.
Ismail Sabri berkata, dengan pengiktirafan itu, MySejahtera dan BruHealth boleh digunakan di kedua-dua negara ketika berada di Brunei atau Malaysia.
“Malaysia dan Brunei juga mencapai persetujuan melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat bagi pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
“Empat penerbangan seminggu antara Brunei dan Malaysia apabila VTL dilaksanakan,” katanya pada sidang media sebelum mengakhiri lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini yang bermula semalam.
Pada masa ini penerbangan di antara Kuala Lumpur dan Bandar Seri Begawan hanya dua kali seminggu iaitu pada Rabu dan Jumaat kerana Brunei belum membuka sempadan negara itu berikutan pandemik COVID-19.
Ismail Sabri berkata, bagi tujuan itu, kementerian berkaitan akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) bagi melaksanakan inisiatif VTL.
“Saya minta menteri-menteri berkenaan untuk membincangkan perkara itu pada mesyuarat Kabinet esok agar ia dapat dilaksanakan segera. Saya mahu ia disegerakan,” katanya.
Malaysia sebelum ini melaksanakan VTL dengan Singapura dan bersetuju untuk pelaksanaan inisiatif itu dengan Indonesia.